CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Senjata nuklear China paling cepat bertambah

19-6-2024 09:07 AM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 9289| Komen: 0

Description: BEIJING – China meningkatkan bilangan senjata nuklear miliknya kepada hampir 100 peledak pada tahun 2023, demikian menurut laporan baharu kelmarin, yang turut memberi amaran bahawa keupayaan nuklear ...

BEIJING – China meningkatkan bilangan senjata nuklear miliknya kepada hampir 100 peledak pada tahun 2023, demikian menurut laporan baharu kelmarin, yang turut memberi amaran bahawa keupayaan nuklear Beijing meningkat lebih pantas berbanding negara lain.

Agensi berita United Press International melaporkan, Beijing meningkatkan bilangan senjata nuklear dalam simpanannya daripada 410 kepada 500 peledak sepanjang tahun lalu, kata Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam laporan tahunan mengenai keselamatan antarabangsa.

Menurut SIPRI, meskipun simpanan peledak nuklear China dijangka terus meningkat, Beijing mungkin menggunakan sejumlah kecil peledak berke­naan pada peluru berpandu ketika era keamanan.

SIPRI menyatakan, Beijing sedang berusaha untuk memodenkan dan mengembangkan senjata nuklearnya.

Stok peledak nuklear China adalah lebih kecil berbanding Russia atau Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir dekad ini, namun Beijing dijangka memiliki bilangan senjata balistik yang setara dengan dua kuasa dunia itu pada tempoh tersebut.


“China meningkatkan senjata nuklearnya lebih pantas berbanding negara-negara kuasa nuklear yang lain,” kata Felo Kanan Program Senjata Pemusnah Besar-besaran SIPRI, Hans Kristensen dalam satu kenya­taan.

“Bagaimanapun, hampir se­mua negara yang memiliki senjata ini mempunyai ranca­ngan untuk meningkatkan ke­upayaan senjata pemusnah ma­sing-masing,” tambahnya.

Laporan keselamatan nuklear itu dikeluarkan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meruncing di banyak kawasan di dunia.

Antara ketegangan berterusan dan membimbangkan adalah antara Barat dan China, perang Russia di Ukraine serta perang Israel menentang Hamas di Semenanjung Gaza.

Semua konflik tersebut berisiko mencetuskan perang berskala besar melibatkan penggunaan nuklear.

Sementarta itu, SIPRI turut menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 12,121 peledak nuklear di seluruh dunia pada masa ini.

Lebih daripada 9,500 senjata nuklear itu berada dalam simpanan tentera bagi kegunaan berpotensi, dengan anggaran 3,904 telah dikerah keluar daripada stok simpanan setakat Januari lalu.

Perkembangan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 60 peledak nuklear yang sedia untuk digunakan berbanding setahun sebelumnya.

SIPRI juga berkata, kira-kira 2,100 daripada peledak yang dikerah ke barisan hadapan itu diletakkan dalam situasi kewaspadaan tinggi.

Bagaimanapun, hampir semua daripada 2,100 senjata nuklear itu adalah milik Russia dan AS yang menyumbang 90 peratus daripada semua senjata nuklear dunia, manakala China dipercayai mempunyai sebahagian kecil senjata tersebut.

Secara keseluruhan, kata SIPRI, bilangan peledak nuklear terus berkurangan tetapi perkara itu berlaku disebabkan AS dan Russia meleraikan peledak nuklear lama dan bukan mengurangkan pengeluaran senjata pemusnah sejagat itu.

“Walaupun bilangan peledak nuklear global terus berkurangan apabila senjata nuklear era Perang Dingin dileraikan secara beransur-ansur, jumlah peledak nuklear boleh guna pula meningkat dari tahun ke tahun,” kata Pengarah SIPRI, Dan Smith da­lam satu kenyataan.

“Trend ini nampaknya akan berterusan dan dijangka me­ningkat pada tahun akan datang. Ini amat membimbangkan,” tambahnya.

Bersama-sama AS dan Russia, negara lain yang memiliki senjata nuklear terdiri daripada China, Britain, Perancis, India, Pakis­tan, Korea Utara dan Israel. – AGENSI

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT


Artikel Terpanas Minggu ini

ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-6-2024 11:50 PM GMT+8 , Processed in 0.038681 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top