Sarat motif, penyanyi Radhi OAG mengganggap tawaran yang dikemukakan bekas isterinya untuk menyelesaikan kes secara luar mahkamah dengan bayaran sejumlah wang sebagai bentuk rasuah. Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 47, berkata, dia sama sekali tidak akan bertoleransi dengan perkara sebegitu kerana percaya boleh memberi kesan buruk terhadapnya. “Saya bukannya tidak mahu selesai luar mahkamah, tapi dia minta pampasan. Bila dia dapat pampasan itu, pada akhirnya memberi kesan kepada diri saya. “Orang anggap seperti rasuah. Ye lah, saya bayar dia untuk dia menarik semula kes ini. Nak ikutkan nak tarik kes tidak perlu paksaan. “Jadi saya tak mahu ke arah itu, saya teruskan sahaja kes tersebut dan pada masa sama saya juga dapat bersuara,” katanya kepada Kosmo! Online. Radhi memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas perbicaraan kes pukulnya terhadap bekas isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri di pekarangan Kompleks Mahkamah Seksyen dan Majistret Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Sementara itu, peguam yang mewakili Radhi, Haziq Aizuddin Subhi, 33, berpendapat Shahira mempunyai motif tersendiri terhadap dakwaan yang dilakukan sebelum ini. “Perbicaraan ini mungkin akan mengambil masa yang panjang. Selagi mana kes ini belum selesai, anak guam saya belum terbukti bersalah. “Semasa prosiding, apa yang saya boleh ulas adalah kita dapat apa yang pihak kami mahukan, wujud motif tertentu dilakukan bekas isteri yang menunjukkan perkara ini dilakukan. “Semasa sesi tersebut, dia ada meminta tawaran balas bagi jumlah yang dituntut bekas isteri sebelum ini, tetapi kita tidak bersetuju sebab ini macam ambil kesempatan,” tegasnya. Radhi hadir ke mahkamah itu pagi tadi bagi mengikuti perbicaraan berhubung dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di tempat letak kereta Emporis Menara D Kota Damansara, dekat sini, pada pukul 2.29 petang, 19 April 2022. Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Nur Shahira sebelum ini menetapkan syarat agar bekas suaminya itu membayar pampasan sebanyak RM300,000 sebagai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
|
ADVERTISEMENT