Kuala Terengganu: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas buruh kerana mengintai wanita di dalam tandas. Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Sukri membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Alauddin Zahid, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan. Dia dituduh mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 22 tahun dengan mengintai mangsa di tandas wanita di sebuah pusat beli belah di daerah ini, pada 10.05 pagi, 13 Mei lalu. Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT