New Delhi: Air India Express memecat sekurang-kurangnya 30 pekerja, kebanyakannya kru kabin kerana mengambil cuti sakit secara beramai-ramai yang mengakibatkan kepada pembatalan penerbangan, menurut pegawai pada Khamis, lapor Xinhua. Langkah itu dibuat sehari selepas hampir 300 pekerja syarikat penerbangan itu mengambil cuti sakit dan menutup telefon mereka. Surat pemecatan yang dikeluarkan kepada pekerja menyatakan bahawa pengambilan cuti sakit secara beramai-ramai itu "jelas menunjukkan satu tindakan yang dirancang dan dibuat secara kolektif tanpa alasan yang munasabah." Pengurusan syarikat penerbangan itu juga memberi kata dua kepada pekerja supaya melaporkan diri bekerja menjelang petang Khamis atau bakal berdepan tindakan. Sejak Selasa malam, lebih 100 penerbangan antarabangsa dan domestik telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan itu. Laporan mengatakan 74 penerbangan dibatalkan pada Khamis.
Pembatalan penerbangan itu mencetuskan krisis kepada syarikat penerbangan tambang murah itu, yang merupakan anak syarikat Air India milik kumpulan Tata. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT