PELAKON Elfira Loy menegaskan tidak kisah dilabel individu beremosi apabila menyentuh isu membabitkan Palestin yang masih bermandi darah hingga ke hari ini. Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, berkata, sebagai insan yang mencintai keamanan, dia tidak sanggup menyaksikan penderitaan tidak berkesudahan rakyat negara itu. Gelar saya individu beremosi jika anda mahu atau apa sahaja dirasakan sesuai. Namun, secara jujur bagaimana saya tidak sedih apabila menyaksikan penderitaan rakyat Palestin setiap hari?” katanya dalam InstaStory. Dia yang popular menerusi drama Qalesya itu memaklumkan hatinya luluh apabila melihat masih ramai yang menyokong produk keluaran Zionis meski bumi Palestin terus dibedil dengan kejam. “Berita sangat menyayat hati minggu ini (tragedi askar Israel mencabul wanita Palestin) dan menyedihkan apabila melihat segelintir daripada anda masih percaya bahawa tidak mengapa jika tidak memboikot produk Israel.
Cuba bayangkan apabila musibah ini menimpa keluarga anda sendiri, ketika itu barulah anda akan sedar dan faham keperluan boikot. “Meskipun tindakan boikot tidak menamatkan konflik sepenuhnya, sekurang-kurangnya anda menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan membuktikan menolak kekejaman Zionis,” katanya. Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mempersoalkan mana hilangnya sikap perikemanusiaan dan empati semua pihak yang memilih memberi sokongan terhadap barangan jenama Zionis. Paling membuatkan saya marah apabila melihat ramai orang masih bangga mendokong jenama yang menyokong pembunuhan beramai-ramai. “Perkara itu sangat menghancurkan hati saya. Tak faham bagaimana mereka boleh terus menyokong jenama sebegitu sedangkan sedar tentang kesengsaraan saudara sesama Islam di Palestin,” ujarnya. Menerusi perkongsian tersebut, Elfira turut mengulang siar perkongsian sebuah akaun mengenai kisah seorang wanita hamil dirogol dengan kejam oleh askar Israel di hadapan suaminya sendiri. Terdahulu, sejak diserang Israel pada 7 Oktober tahun lalu, angka rakyat Palestin yang terkorban sudah melepasi 30,000 manakala lebih 72,000 cedera. Sumber – HIBGLAM
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|