KUALA KRAI - Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang anak sanggup mengugut mahu membunuh bapa kandungnya menggunakan sebilah parang di rumah mereka di Kampung Hamzah, dekat sini. Nik Pa, 75, ditimpa nasib malang itu 27 Mei lalu apabila anaknya, Nik Ros Azhar, 39, menghunus sebilah parang sambil mengugut untuk membunuhnya kerana tidak puas hati selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam bertindak menghantar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD itu dan berjaya menahan suspek. Hasil siasatan dijalankan Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah IPD itu, Sarjan Mohd Rosly Chik, suspek dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, Isnin lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Aizuddin Jamaludin mengikut seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Perbuatan derhaka Nik Ros Azhar akhirnya mendapat pembalasan apabila Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara ke atasnya. Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Mei lalu. Dalam pada itu, di mahkamah sama, nasib hampir sama dialami Nik Pa menimpa seorang wanita berusia 53 tahun dari Telekong, di sini, apabila ditumbuk anak sendiri. Nasib malang menimpa wanita terbabit, Rabiah Yusoff dilakukan anak lelakinya berusia 24 tahun, Mohd Dikizulkarnain Ab Aziz di rumah mereka pada 23 Mei lalu. Pada kejadian itu, Mohd Dikizulkarnain dituduh memukul ibunya menggunakan tangan dengan menumbuk bahagian kanan kepala wanita itu hingga cedera. Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pemuda terbabit, selepas ibunya menegur perbuatannya memarahi orang melintas di hadapan rumah mereka tanpa sebab. Bertindak atas aduan dibuat Rabiah, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Krai menjejaki pemuda itu dan berjaya menahannya pada hari kejadian. Susulan pendakwaan dikendalikan Aizuddin di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mahkamah memerintahkan Dikizulkarnain menjalani hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan.
|
ADVERTISEMENT