Seorang individu mendakwa dirinya menjadi mangsa 'cekik darah' apabila perlu membayar harga makanan yang mahal ketika makan di sebuah gerai di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. Menerusi hantaran yang dibuat di grup Langkawi Sana Sini, pelancong itu tidak berpuas hati dengan harga yang didakwa tidak masuk akal untuk ayam goreng kunyit dan nasi putih.
Turut dikongsikan adalah foto hidangan itu untuk 'seorang makan' bersama resit sebagai bukti. "Nasi putih RM3. Ayam goreng kunyit macam tu je untuk seorang makan, RM20. Ais kosong pula RM1. Naya kena (jumlah) RM24. "Jangan kecam... nak kecam pun ikut suka hampa (anda) la. Saya post sini sebab rasa tak puas hati dengan harga ayam goreng kunyit dia," katanya, dipercayai seorang wanita. Dikenakan caj sebegitu, dia terus mengaitkan situasi dialaminya dengan rungutan pelancong lain sebelum ini yang berpandangan kos percutian lokal dan harga makanan di lokasi pelancongan di Malaysia adalah mahal.
Dia turut menegaskan hantaran dibuat bagi memberi kesedaran kepada pelancong supaya lebih berhati-hati memilih kedai makan di pulau peranginan popular itu khususnya. "Patutlah orang luar kata Langkawi mahal. Hampa rasa berbaloi ke kena harga macam ni? "Tu gambar kedai saya dah ambil gambar tengoklah dekat mana kawasan Cenang. Jangan hampa terkena sudah," katanya lagi. Hantaran yang dibuat turut dikongsikan oleh pengguna lain di media sosial setelah ia menjadi tular. Di ruangan komen, beberapa individu lain turut bersetuju bahawa harga yang dikenakan adalah tidak wajar justeru meminta individu berkenaan membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut. Malah, ada juga segelintir yang membuat perbandingan harga makanan di kawasan tersebut dengan lokasi lain di Kuala Lumpur. "KLCC pun lagi murah. "Kalau makan ayam kunyit RM20, baik makan udang. Tak berbaloi betul harga. "Tak berbaloi bang. Memang cekik darah dah tu nasi putih saja RM3 dan lauk RM20. Laporkan pada KPDN bang. Bair mereka siasat. "Sebenarnya secara jujur makan dekat warung sama harga macam di restoran sedangkan restoran sewa RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Elektrik dan bil air pun kadar kedai," ulas beberapa individu. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT