Normah Damanhuri mendedahkan kisah sebenar di sebalik nama panggilan Satria yang diberikan kepada cucunya iaitu Fitri Farok. Cerita Normah, 69, cucunya yang juga merupakan Naib Juara Hero Remaja 2023 ini disapa dengan nama berkenaan kerana dilahirkan di dalam kereta Satria Hatchback miliknya, 24 tahun lalu.
Ketika kejadian, Normah berkata dia memandu kenderaan itu membawa anaknya iaitu Nor Lydia Rosli ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz), Selangor. "Ceritanya sewaktu ibu Fitri sudah mula rasa sakit kontraksi untuk melahirkan, dia tidak mahu ke hospital tetapi saya paksa dan membawanya menaiki kereta Satria milik saya. "Semasa perjalanan ibunya sudah tidak tahan nak bersalin dan bayangkan macam mana saya punya cemas. Kaki dah menggigil tak tahu mana nak tekan brek, mana nak tekan minyak.
"Tapi mak Fitri ni jenis cool. Sampai di roundabout saya intai sikit, rupanya kepala Fitri dah keluar... Lagilah buat saya cemas dan jadi menggigil tak tentu hala," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa. Setibanya mereka di kawasan hospital, anaknya itu akhirnya selamat melahirkan bayi lelaki di dalam kereta berkenaan. "Sampailah di unit kecemasan hospital tiba-tiba dia (Fitri) keluar dekat seat penumpang tu. Saya panik sebab risaukan anak dan cucu, takut bayi lemas kan. "Saya menjerit dekat hospital dan beritahu cucu saya sudah keluar. Situasi pun jadi kelam kabut, saya menangis tetapi bila tengok muka anak (ibu Fitri) dia masih boleh tersenyum lagi. "Selepas itu barulah pihak hospital bawa anak saya dan Fitri dengan tali pusatnya yang tergantung masuk ke dalam wad," ujarnya. Susulan daripada kejadian berkenaan, Normah memberitahu dia terdetik untuk memanggil Fitri dengan nama panggilan Satria. Tambah Normah, seluruh keluarga dan rakan-rakan cucunya itu turut menggelarkannya dengan panggilan tersebut. "Kebetulan Fitri pun lahir dalam kereta tersebut jadi saya pun memanggilnya dengan nama Satria. Sampai besarlah orang panggil dia dengan nama Satria. "Namun ayahnya berikan nama Fitri kerana dia lahir sudah hampir dengan sambutan Aidilfitri. "Kami sekeluarga dan rakan-rakannya semua melekat dengan panggilan Satria, tidak ada yang memanggilnya dengan nama Fitri," katanya. Sebelum ini, menerusi Instagram Normah memberikan ucapan tahniah kepada cucunya itu kerana berjaya merangkul gelaran naib juara program realiti pencarian bakat berkenaan. Bagaimanapun kapsyen Normah memanggil Fitri dengan nama Satria mengundang pelbagai pertanyaan peminat. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT