Ifa Raziah, 48, menganggap mana-mana artis yang menggunakan khidmat pengawal peribadi atau ‘bodyguard’ bukan kerana mahu menunjuk lagak. Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ifa berkata, sebagaimana dirinya yang telah lima tahun mempunyai bodyguard, tindakan itu dibuat demi keutamaan keselamatan terutama apabila berada di khalayak ramai.
Kata Ifa, ia juga tidak wajar menjadi pertikaian ramai apalagi sekiranya artis tersebut berkemampuan untuk menggunapakai khidmat pengawal peribadi. “Kalau artis atau selebriti itu berkemampuan, sebaiknya ada yang menemani. Jika bukan pengurus, pembantu peribadi, boleh lantik pengawal peribadi untuk ikut kemana sahaja kita pergi. “Tapi lantik pengawal peribadi yang rasmi atau sah, yang berlesen dan bukan muka saja nak acah gangster. Macam saya, memang gajikan yang berlesen dan ada senjata. Ini bukan untuk berlagak atau sombong ya, tapi demi keselamatan.
“Kita tak tahu mungkin di kiri kanan ada bahaya. Sekarang ini di Malaysia pun ada banyak pembunuh bersiri, yang kita kenal pun kadang boleh jadi suspek,”katanya ketika dihubungi. Ia bagi mengulas mengenai perkongsian Nora Danish yang mengakui memasang pengawal peribadi untuk menemaninya demi keselamatan. Mengulas mengenai tindakan Nora itu, kata Ifa, dia amat memahami mengapa suami pelakon tersebut, Nedim Nazri Aziz bertegas supaya Nora diiringi pengawal peribadi ke mana sahaja.
“Kalau dia pasang bodyguard pun tak pelik sebab dia mampu, suami dia pun kaya. Tetapi tak semestinya artis saja, sesiapa saja yang mampu pun boleh buat perkara serupa. Atas pilihan masing-masing. “Macam saya bila sibuk dengan acara Starvendors, saya dengan suami tak sekali sebab biasanya saya akan sibuk uruskan banyak perkara dan dia juga sibuk uruskan bahagian lain. “Saya memang kena ada tang menemani sebab kadang orang datang serbu dan keadaan boleh jadi tidak terkawal di tempat keramaian. Bahkan, kalau ke tandas sekali pun pengawal peribadi saya akan ikut dan tunggu di depan pintu.
“Kalau perlu berehat di bilik, mereka akan tunggu di depan pintu juga. Tak payah tunggu saya pakai barang kemas mahal-mahal baru nak iringi, hari biasa pun mereka ikut temani saya,”katanya. Dalam pada itu, kata Ifa, sebagai seorang usahawan kini, dia juga tidak menolak andai wujud pihak yang sengaja mahu menjatuhkan dirinya.
Berikutan itu, katanya, tidak salah untuk dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah atau ke mana sahaja dia berada. Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|