Penyanyi Ernie Zakri menyatakan dirinya tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Nadeera Zaini berhubung isu lagu Astana yang menjadi kontroversi di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).
Ernie berkata Nadeera ada menghubunginya menerusi mesej pesanan ringkas di Instagram untuk memohon maaf. Jelasnya, mereka berdua tiada mempunyai sebarang masalah malah hubungan berada dalam keadaan baik. "Saya sudah berbincang dengan Nadeera tentang perkara ini dan sudah selesai. Saya menghormati dia untuk menyanyikan lagu ini. Saya hormati dia apabila dia kata tidak tahu menahu tentang perkara ini. "Kalau saya berada di tempat Nadeera pun saya akan menyanyikan juga lagu Astana. Tiada apa yang harus dipersalahkan, kerana Nadeera hanya menggalas tanggungjawab. "Dia ada menghubungi saya di DM Instagram sebab dia tidak mempunyai nombor saya. Mesej yang panjang. Saya percaya dia mesti sedih.
"Saya dan Nadeera tiada sebarang isu. Kami sudah berbaik. Dia cakap maaf dan saya juga minta maaf. Kami berdua tersepit sebab tidak tahu apa yang berlaku. "Kami hanya mencari makan, kami hanya penyanyi. Saya kalau jadi Nadeera, bagi lagu apa pun saya nak nyanyi. Kami bina hubungan yang baik semula," katanya. Ernie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media usai pengumuman 12 finalis yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, pada Ahad. Dalam masa sama, Ernie meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya diberikan keizinan untuk menyampaikan sendiri lagu ciptaannya itu.
|
ADVERTISEMENT