Shiha Zikir berlapang dada menerima pandangan segelintir pihak yang tidak habis-habis mempersoal kelayakannya bersaing di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) dan bolos Anugerah Juara Lagu (AJL).
Mempertaruhkan dua lagu iaitu Tusuk dan Kalam pada SFMM 38, Shiha tidak terkesan dengan kritikan dan persepsi negatif pihak tertentu, sebaliknya, berusaha memberi persembahan terbaik. "Ada yang cakap saya saban tahun masuk AJL. Saya fikir bukan begitu. Kali pertama saya masuk AJL kerana menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sebelum itu, beberapa lagu saya sendiri hanya berjaya pada peringkat SFMM. "Kali pertama bertanding di pentas AJL melalui lagu AEWO disusuli Irama... Itu sahaja, baru dua lagi (masuk AJL). "Saya tidak menang pun. Saya hanya menang kategori persembahan terbaik pada AJL 37 melalui lagu Irama," katanya ditemui sebaik hari pertama SFMM 38 di Studio 1, Glenmarie di sini, semalam, berakhir.
Semalam, kelayakan Shiha bersaing di pentas SFMM 38 melalui lagu Tusuk mengundang kritikan segelintir pelayar X. Tusuk ciptaan Iqie Hugh dan Omar Kay menjadi antara 11 lagu yang bertanding pada hari pertama SFMM38. Shiha bersyukur biarpun dirinya dikecam, rezeki tidak pernah putus. "Alhamdulillah, rezeki saya ada tanpa perlu buat sesuatu yang bukan diri saya. Selama ini, saya tidak reka kontroversi untuk menaikkan nama. Cuba tengok dari dahulu sampai sekarang, saya tidak pernah buat. Kalau ada pun, saya selesaikan dengan cepat," katanya. Shiha berterima kasih masih ramai peminat menyokong semua artis secara positif dan tidak mempunyai pandangan negatif terhadap orang lain. "Bagi netizen, saya harap mereka cuba muat naik komen yang mampu mendidik khalayak berfikir positif. Sokong semua orang, usah pertikai kenapa artis itu boleh masuk SFMM," katanya. Berkongsi mengenai harapan untuk bolos ke pentas AJL 38, Shiha tidak menafikan mengimpikan dua lagunya iaitu Tusuk dan Kalam hasil ciptaannya bersama Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat, dipilih dalam kelompok 12 lagu. Malah, pada peringkat SFMM 38, Shiha tidak kisah berhabis ribuan ringgit demi membuktikan komitmennya sebagai penyanyi. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT