Penyanyi Bunga Citra Lestari dilaporkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini iaitu Tiko Wardhana. Bunga, 40 dan Tiko yang juga seorang duda dikatakan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 2 Disember ini di sebuah hotel di Bali, Indonesia.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang petugas di pejabat agama dikenali sebagai Emma Fatmayani menerusi kenyataan di YouTube Indosiar pada Sabtu. Bagaimanapun Emma tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar pernikahan pasangan tersebut kerana tidak mempunyai butiran lengkap mengenainya. “Kalau tarikh pernikahan tidak ada pada kami namun Bunga sudah menyerahkan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair. "Daripada pihak Tiko pula, mereka juga sudah menghantar beberapa dokumen dan surat pengesahan cerai... Jadi statusnya ialah duda bercerai hidup," katanya.
Sementara itu, Ketua Rukun Tetangga di kawasan kediaman Tiko dikenali sebagai Mahmud juga memberitahu bahawa lelaki itu ada meminta surat untuk pernikahan di Bali. "Kebetulan penduduk kami yang bernama Tiko meminta dibuatkan surat untuk menikah di Bali," ujarnya. Pada Mac lalu, Bunga menjadi perhatian ramai apabila terlihat teruja menyambut ulang tahun kelahirannya bersama teman rapat. Gelagat penyanyi lagu Wanita Terbahagia itu menarik tangan seorang lelaki yang dikenali sebagai Tiko yang berada di sisinya menjadi perhatian netizen. Kemesraan Bunga dengan lelaki berkenaan mencetuskan tanda tanya malah ada juga yang mendakwa itu merupakan teman lelaki penyanyi tersebut. Untuk rekod, Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Noah Aidan. Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 semasa tidur akibat serangan jantung. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT