Johor Bahru: Individu yang mendakwa dirinya anak Makcik Kemboja menerima banyak ugutan selepas video kemarahannya tular di media sosial. Bagaimanapun lelaki dikenali sebagai Ezuan itu mendakwa video di TikTok itu sudah disunting.
Ezuan dalam hantaran di platform X mendakwa, video kemarahannya itu ditujukan kepada bekas pekerja syarikat ibunya dan bukan kepada netizen mahupun masyarakat umum. "Semalam, sekitar jam 2.30 petang, saya mengesan satu konten yang dimuat naik oleh seorang individu, yang merupakan bekas pekerja di Mariyah Holdings. Beliau memuatnaik konten yang berunsur ugutan terhadap saya, kerana individu tersebut berkata dia akan mendedahkan identiti saya, sebagai pencipta konten untuk ibu saya, Madam Mariyah. Individu tersebut juga telah memaki hamun saya dan juga ibu saya dalam konten tersebut. "Dalam video original yang dimuat naik oleh saya, saya ada sebut mencabar dia secara spesifik dengan menyebut nama penuh dia sekali.
"Namun, individu tersebut telah mengubah konten tersebut, mengambil bahagian-bahagian tertentu sahaja di mana saya sebut saya cabar, menyalak macam anjing dan sebagainya, seolah-olah saya mencabar netizen," tulisnya. Jelas Ezuan, perkara ini mengancam keselamatannya, sehingga menerima terlalu banyak ugutan. "Jadi di sini, saya ingin menyatakan bahawa segala spekulasi terhadap saya adalah fitnah. Dengan nama Allah, saya tidak pernah terniat untuk mencabar netizen mahupun masyarakat untuk datang berjumpa saya. "Saya cuma nak selesaikan secara profesional bersama dia (bekas pekerja ibu). Saya minta anda (netizen) menilai sendiri dan saya minta jasa baik anda untuk viralkan video original saya, supaya orang tahu sisi cerita yang sebenar. "Akaun peribadi Tiktok saya juga telah di-banned pagi semalam. Saya harap, ada keadilan buat saya. saya berani kerana benar dan saya tak takut dengan individu tersebut. Allah Maha Berkuasa," katanya yang turut memuatnaik video original yang menyebut nama bekas pekerja ibunya. Semalam, tular video kemarahan dengan tindakan Ezuan mencabar menggunakan bahasa kurang sopan tular di media sosial. Video terbabit mendapat kecaman netizen yang rata-rata tidak berpuashati dengannya. Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita sedang mengadakan penstriman langsung di dalam sebuah gedung pakaian muslimah. Menerusi rakaman video berkenaan, wanita terbabit mengakui dirinya adalah warga Kemboja yang sudah lama menetap di negara ini. Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas. Namun, di akhir rakaman video berkenaan wanita itu menyatakan dia hanya bergurau dan berkata orang Melayu atau Kemboja tiada beza. Untuk rekod, 14 laporan polis sudah dibuat terhadap wanita terbabit oleh beberapa pihak yang tidak puas hati berkaitan kenyataannya mengatakan orang Melayu sebagai pemalas. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT