Penyanyi popular Aina Abdul membelanjakan sebanyak RM520,000 untuk tiga mikrofon serta lima busana eksklusif yang digayakan pada konsert Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Aina ditemui usai kejayaan konsert terbabit yang dihadiri lebih 10,000 peminat berkata, seramai 40 krew ditugaskan untuk menyiapkan setiap persalinan yang ditampilkan dengan masa terhad. "Kelima-lima busana yang digayakan saya hanya sempat buat percubaan sekali saja. Itupun sewaktu sesi raptai penuh yang berlangsung semalam (Jumaat). "Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. "Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung. Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai gaun bewarna biru yang mengeluarkan kepulan asap sewaktu persembahan, Aina berkata, busana itu adalah rekaan khas daripada Zaimi Zulkifli. "Dia seorang pereka yang inovatif apabila menggabungkan elemen sains dan fesyen dalam satu karya. Kalau anda tengok asap dan pergerakan baju itu ada jurutera yang mengawalnya di tepi pentas menggunakan alat kawalan jauh. "Sebenarnya waktu sesi latihan, gaun itu tidak keluar asap, jadi saya dan seluruh pasukan sudah mula risau dan harap masalah ini tidak terjadi sewaktu konsert. "Namun syukur kesemua busana hasil curahan idea saya bersama penata gaya, Abu Shaef Hamza berjaya diterjemahkan dengan baik dan setiap busana ada cerita disebaliknya," katanya. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali yang bertindak sebagai penganjur konsert berkata, kos keseluruhan konsert Aina Abdul 3.0 menelan belanja sebanyak RM1.8 juta. "Konsert ini adalah percubaan pertama kami bekerjasama dengan Aina. Tapi saya amat bersyukur kerana kami memiliki keserasian yang baik dan semua masalah berjaya diatasi bersama. "Seperti yang anda semua sedia maklum, konsert ini juga adalah kali pertama saya bekerjasama dengan artis tempatan dan Aina berjaya membuktikan kesungguhannya untuk memastikan konsert ini berjaya. "Semoga kami mempunyai rezeki untuk terus berkolaborasi pada tahun depan. Menerusi konsert ini hampir 98 peratus tiket terjual dan kira-kira 10,000 penonton yang hadir," katanya. Konsert Aina Abdul 3.0 berjaya membuktikan kehebatan vokal Aina yang tiada tandingan apabila menyanyikan 34 lagu pada acara itu. Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|