Pelakon Shah Radhi akui kontroversi yang pernah terpalit dengan dirinya berhubung dakwaan memikat isteri orang untuk tujuan seks telah meninggalkan impak buruk dalam kerjaya seninya. Shah berkata dia juga berasa trauma dengan kisah hitam yang berlaku dua tahun lalu itu sehingga ada beberapa produser yang enggan memberikan tawaran lakonan kepadanya.
"Pada saya, semua manusia pernah buat khilaf, tapi kalau kontroversi itu bukan kita buat, perlu tegakkan kebenaran. Kalau orang masih nak cakap tak elok, saya abaikan sahaja. Saya okay dengan semua orang. "Kontroversi itu memang sebelum ini memberi impak pada kerjaya seni saya, ada yang tak mahu ambil saya berlakon sebab ada isu dengan mahkamah. "Pada saya itu hal personal, kalau di set penggambaran saya tak pernah buat hal. Siapa-siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu saya macam mana. Saya sangat mementingkan disiplin.
"Sebelum ini saya trauma, sekarang sudah tidak lagi. Pada saya lebih baik hidup satu lilin daripada terus hidup dalam kegelapan. Itu pendirian saya. "Saya kurung diri selepas kontroversi itu melanda. Dalam masa enam bulan untuk saya perbaiki diri. Saya buang semua gambar di Instagram dan hanya tinggalkan satu gambar sahaja supaya orang tahu itu memang IG saya," katanya.
Justeru, aktor berusia 28 tahun itu nekad untuk memulakan lembaran hidup baharu dan melupakan kisah lama dengan menjenamakan semula dirinya. Bukan hanya mengubah nama pentas, penampilan fizikalnya juga berbeza jika dibandingkan ketika awal menceburi bidang seni. "Saya tukar nama juga sebab nak rebrand diri saya. Jika sebelum ini saya guna nama Shah Hazvee, sekarang saya guna Shah Radhi. "Kali ini saya ingin tampil lain, sebelum ini fizikal saya pun lebih kurus, sekarang dah berisi sikit dengan nama yang baru juga. "Kisah yang lama saya tinggalkan, saya sudah tidak hidup di zaman itu lagi. Saya buat untuk masa depan," ujarnya.
Dalam perkembangan terkini, Shah sedang sibuk menguruskan perniagaan miliknya yang berkonsepkan makanan kesihatan di Ngam Ngam Restaurant. Selain itu, Shah juga kini kembali aktif dalam bidang lakonan dan beberapa filem yang dibintanginya bakal menerjah ke pawagam. Terdahulu, Shah didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu Kelakuan Aib. Pelakon itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di No 28 Jalan SU 2C, Taman Sering Ukay, Hulu Klang kira-kira pukul 8 malam, pada Mei 2020. Shah bagaimanapun didapati tidak bersalah dan terlepas daripada tuduhan tersebut. Sumber: Oh Bulan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|