Pelawak, Ebby Yus, 58, mengakui usia dan status veteran adalah antara faktor yang menyukarkan seseorang artis atau selebriti tempatan menjadi pilihan penerbit, pengarah mahupun penonton.
Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, keadaan itu berlaku kerana peralihan zaman yang menyaksikan pelapis-pelapis baharu mewarnai industri seni hiburan. “Lumrah apabila meningkat usia, dah veteran, kita tak ada banyak sangat ‘job’ macam dulu. Lagipun, pelapis baharu ramai dan mereka juga ada benda baharu, idea baharu.
“Secara peribadi saya rasa, artis lama macam saya ini kena terima keadaan itu. Zaman kegemilangan kita dah berlalu. Macam saya dengan Sepah, dulu mereka tumpang populariti saya, tetapi sekarang saya pula yang tumpang populariti mereka.
“Ini juga berbalik kepada soal rezeki. Saya pun nak kata ada banyak sangat ‘job’, tidak juga. Apa yang mampu saya buat, saya teruskan,”katanya.
Ebby berkata demikian semasa dihubungi semalam bagi mengulas mengenai kenyataan rakan industrinya, Abon, yang mengumumkan mahu mengundur diri daripada bidang seni. Menerusi satu temu bual dengan media tempatan, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, 63, berbuat demikian kerana kecewa tidak lagi menerima sebarang tawaran.
Selain itu, tambah Ebby, secara peribadi dia mengagumi Abon sebagai seorang pelawak yang lebih hebat berbanding dirinya selain mengakui Abon juga melewati zaman kegemilangannya dan disegani ramai.
“Kami berada dalam industri yang sama dan pernah melalui era kegemilangan sama. Berbanding saya, Abon lebih bagus komedinya. Tetapi berbalik kepada soal rezeki Allah SWT. Kalau ditanya pada saya, tak perlu putus asa.
“Kita kena percaya pada rezeki. Kita kena terima yang bila dah hujung usia begini, ada jenaka kita yang orang tak boleh terima dah, atau idea yang lama.
“Macam Badul, dia dulu pun mempunyai pengaruh kuat dalam bidang komedi ini. Tetapi, saya percaya, Abon walaupun tak dipanggil stesen televisyen, dia punya ‘show’ di luar lagi banyak. Sebab itu dia bertaraf legenda,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT