Johor Bahru: Syok sendiri dan tidak perlu dilayan, reaksi terhadap cadangan supaya Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung semula bagi menjadikan Malaysia lebih hebat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, individu yang mencadangkan perkara itu juga disifatkannya sebagai 'buta sejarah'. "Ada cadangan Najib dan Muhyiddin bergabung. Kononnya Malaysia tambah hebat. Tanyalah Muhyiddin. Mahukah dia? "Individu yang mencadangkan itu 'buta sejarah'. Najib pernah sokong Muhyiddin jadi Perdana Menteri Kelapan namun dia tikam belakang, dia mahu bunuh Umno macam di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. "Muhyiddin juga tolak sertai Kerajaan Perpaduan. Dia mahu tebuk atap, maka macam mana mahu wujud Malaysia lebih hebat. "Umno dan Bersatu bersaing untuk kumpulan sasar yang sama sebab itu parti itu kena bunuh Umno untuk hidup. Mudah berkawan dengan PKR kerana kumpulan sasar mereka berbeza," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, semalam.
Sabtu lalu, penyokong Najib atau dikenali sebagai 'Bossku' dilaporkan meletakkan harapan supaya bekas Perdana Menteri itu dan Muhyiddin membuka lembaran baharu, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat. Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz dilaporkan berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas pemimpin nombor satu negara itu, bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup. Beliau dilaporkan menyuarakan perkara itu selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendoakan kesembuhan Najib yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat Covid-19, Jumaat lalu. "Negara akan menjadi lebih hebat jika dua figura ini bergabung. Saya yakin harga bahan keperluan asas akan naik lebih tinggi apabila minyak diesel ditarik subsidi dan cukai perkhidmatan (SST) naik lapan peratus," kata Syed Muhammad Imr-CARIan. Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, cadangan Syed Muhammad Imran yang mendakwa akan mengumpul 30,000 orang untuk menyokong Najib pun hanyalah syok sendiri. "Dia dakwa akan kumpul 30,000 orang sokong Najib. 10,000 orang pun tak sampai. Kaki syok sendiri, tak payah layanlah," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT