Farah Ahmad, 46, dedah hubungannya dengan ibu mentua, Datuk Fauziah Nawi bertambah akrab selepas pemergian suaminya, Allahyarham Pitt Hanif, empat tahun lalu. Farah berkata, Allahyarham suaminya juga beruntung kerana Tuhan menjemputnya ketika dia masih memiliki ibu yang masih hidup kerana dapat mendoakan kesejahteraannya di alam barzakh.
"Kebiasaannya apabila suami meninggal dunia, putuslah hubungan antara menantu dan mentua, tapi situasi itu tak berlaku kepada saya. "Alhamdulillah hubungan kami semakin rapat selepas pemergian suami. Mungkin juga kami ada syarikat produksi bersama. Jadi, ia menambahkan kasih sayang antara kami berdua.
"Malah ibu juga lebih penyayang, lebih-lebih lagi terhadap cucu-cucunya. Ibu pantang kalau ada orang cuba mengganggu cucunya, dia akan 'serang' dulu.
"Saya nampak kehilangan arwah menaikkan darjatnya sebagai ibu. Arwah juga bertuah kerana dia meninggal dunia ketika ibunya masih hidup dan nama arwah sentiasa terselit dalam doanya. Malah ibu juga akan bacakan surah Yasin selepas solat Subuh setiap hari tanpa gagal buat arwah," katanya. Menurut Farah, walaupun suaminya sudah hampir empat tahun meninggal dunia, namun dia tidak pernah berfikir mengenai jodoh.
"Dalam doa saya tidak terlintas soal jodoh, tetapi saya berdoa untuk kekalkan kerinduan saya supaya sentiasa teringat dengan arwah. "Nak fikir soal pengganti atau kahwin lain memang tiada. Alhamdulillah, sekarang Allah beri saya rezeki dengan lebih luas untuk anak-anak. Merekalah kekuatan saya. Kalau saya rindu dengan arwah, saya akan buka telefon dan melihat gambar dan videonya," katanya.
Pada 26 Oktober 2019, Pitt ditemui lemas ketika sedang memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang. Farah dan Pitt memiliki tiga anak iaitu Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|