Norhizam Shair atau Ijam Medicine yang kini pendakwah bebas, menghormati syarat Jabatan Agama Islam setiap negeri yang menetapkan tauliah untuk individu menyampaikan ceramah di tempat mereka.
Setakat ini dia hanya mempunyai tauliah dari Negeri Sembilan dan Sarawak untuk memberi ceramah di surau dan masjid di negeri terbabit. "Untuk ajar agama dan beri ceramah di dua negeri ini memang tiada masalah, bebas dan lancar. Untuk negeri lain saya belum cuba mohon lagi. "Tengoklah pada masa akan datang. Memang saya perlu mohon kerana isu ini besar. Kita sebagai pendakwah bebas, kalau nak bagi ceramah kenalah ada tauliah. "Insya-Allah, mudah-mudahan perkara ini dipermudahkan. Apa yang dibuat adalah kerana Allah dan untuk berkongsi perkara kebaikan," katanya kepada Harian Metro. Penyanyi yang popular menerusi lagu Tika Dan Saat Ini tidak menafikan kadang-kadang dijemput memberi ceramah oleh pihak masjid di negeri lain.
"Kadang-kadang ada negeri berikan tauliah khas untuk saya beri ceramah di masjid dan surau khususnya luar bandar. Mereka mohon kepada pejabat agama secara 'one off'. "Saya tiada masalah untuk buat kerana perkongsian ilmu harus dibuat untuk manfaat kita bersama. Tambah lagi jika itu permintaan dari ustaz-ustaz dan orang alim di sana. "Bercakap mengenai ujian dan cabaran, bagi saya itu biasa. Kadang-kadang apabila sentuh bab tauliah, ada program saya dibatalkan pada saat akhir kerana isu ini," katanya. Menurutnya, dia reda jika perkara ini terjadi. Bagaimanapun dia lazimnya akan dimaklumkan perkara itu sehari dua sebelum program dan ia tidak menjadi masalah buatnya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT