Selepas merangkul trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), Bell Ngasri tidak pernah meletak harga bayaran tinggi . Namun tidak menafikan terdapat peningkatan harga bayaran untuk beberapa tawaran kerja selepas meraih kejayaan itu pada tahun ini.
"Mungkin ada peningkatan sikit, tapi bukan saya yang tentukan, sebaliknya mereka (penganjur) sendiri yang menambah kadar bayaran untuk diberikan. "Pernah berlaku kejadian saya diberikan harga yang berbeza berbanding dulu sehingga saya tanya secara bergurau kenapa dulu tidak beri harga begini. "Tetapi saya tak kisah pun sebab dah lama dalam bidang ini. Apa bayaran yang mereka berikan adalah rezeki saya.
"Mereka tahu cara kerja saya dan menghargai hasilnya. Jadi kadangkala saya tidak perlu letakkan harga, tapi mereka tahu sendiri," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta produk minyak wangi jenama Sky. Menurut Bell, dia tidak menyangka dirinya masih mendapat tempat menjadi duta bagi sesebuah produk walaupun sering membawa watak lelaki kampung. "Inilah yang dinamakan rezeki. Saya pun tak sangka rezeki datang dalam pelbagai bentuk.
"Tapi saya percaya setiap tawaran yang datang itu bersebab. Mungkin saya dekat dengan pelbagai golongan selain suka bertemu peminat. "Alhamdulillah selamat kejayaan di ABPBH35, saya memang sudah niat nak jumpa peminat-peminat di seluruh negara.
"Dalam waktu terdekat ini saya akan bertemu peminat di Karnival Kedah Best yang akan berlangsung di Tasek Darul Aman Park, Jitra Kedah pada 23 Disember depan. "Pelbagai acara sudah diatur antaranya cabutan bertuah dan peminat berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 antaranya Nissan GTR, Yamaha 135LC, gelang emas dan wang tunai dengan setiap pembelian minyak wangi Sky," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|