Aina Abdul akhirnya berjaya melancarkan buah tangan terbaharu berjudul Imaji walaupun pernah berputus untuk album sulungnya kerana kekangan waktu. Katanya dia bersemangat menghasilkan album ini selepas terkesan dengan kata-kata pengarah muzik Datuk Ramli MS yang menyatakan untuk seseorang artis menganjurkan konsert, perlu mempunyai album terlebih dahulu ketika mereka menjurikan program Big Stage.
Lebih membuatkan dia tercabar dengan kenyataan itu apabila ada suara-suara sumbang mentertawakannya kerana masih tidak mempunyai album. "Sebenarnya waktu Tokram (Ramli MS) cakap begitu saya menggeletar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya boleh rasa yang semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa ada suara-suara sinis kata padan muka. "Ketika itu saya rasa tercabar dan rasa sangat kerdil ketika itu duduk bersebelahan dengan Tokram. Saya rasa seperti nak balik waktu itu. Kalau saya ada magik, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya.
"Tetapi saya jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat untuk saya hasilkan album," katanya kepada mStar. Aina juga tidak menafikan album tersebut dilancarkan bagi menutup mulut beberapa pihak yang sering mempersoalkan tindakannya mengadakan konsert di Axiata Arena meskipun tidak mempunyai album dan tidak banyak lagu-lagu popular. Stigma yang berlarutan itu membuatkan penyanyi lagu Sumpah itu berasa sedih dan berharap ia dapat dihentikan sesegera mungkin.
"Ramai yang cakap kenapa nak pergi konsert Aina Abdul? Lagu dia berapa kerat sahaja. Benda macam ini buat saya down. "Kalau kita tengok artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu hit, tetapi tetap lakukan konsert. Kalau di luar negara boleh, kenapa di sini tidak boleh. Saya rasa stigma ini perlu diubah. "Untuk penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, kita masih boleh lakukan persembahan seperti 'showcase' dan sebagainya. Saya sedih dengan stigma itu dan tidak setuju dengan benda itu," ujarnya. Aina berkata terdapat 14 buah lagu hasil ciptaannya sendiri dengan genre balada, pop dan indie.
Kata Aina, dia bergelut dengan masa untuk menyiapkan album tersebut memandangkan terlalu sibuk dengan konsert yang bakal diadakan. "Memang saya berperang dengan masa. Ada hari yang saya menyanyi, malam selepas itu saya rakam untuk album dalam tiga hingga empat jam. "Saya sampai tidak nampak siang dan malam. Masa yang saya ada untuk keluarga juga sangat kurang sepanjang saya buat album. Saya sampai cakap dekat keluarga, kalau nak jumpa saya datang dekat rumah saya," katanya.
Menyifatkan album Imaji itu sebagai hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya, Aina menjadikan ia sebagai cenderahati kepada peminat setia yang telah lama menantikan album sulungnya. Malah, dia mengeluarkan kos sebanyak RM300,000 untuk penghasilan album ini. "Alhamdulillah akhirnya saya berjaya merealisasikan impian sekian lama untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri. "Setiap lagu yang dihasilkan adalah interpretasi saya terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai dihargai dan sebagainya.
"Secara peribadi saya meletakkan piawaian yang tinggi untuk album ini kerana Aina Abdul merupakan seorang yang amat menitikberatkan soal mutu, kualiti muzik, bunyi dan gubahan dalam setiap karya. "Kos itu adalah untuk fizikal album, photoshoot, rakaman dan juga macam-macam lagilah," ujarnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|