Pengarah muzik Datuk Ramli MS tidak berminat menceburkan diri dalam bidang lakonan biarpun ditawarkan dengan bayaran lumayan. Ramli atau Ramli Mohd Salleh, 56, berkata, bidang itu bukan kepakarannya selain menyifatkan karakternya seorang yang telus dan tidak pandai berpura-pura di hadapan kamera.
"Never! Kalau ditawarkan sebanyak RM3 juta pun saya tidak akan berlakon! Saya memang banyak terima tawaran tetapi saya tolak, itu bukan 'forte' saya. "Berlakon itu adalah lakonan dan dalam kehidupan saya tiada lakonan... Saya ini seorang yang direct (berterus terang)," katanya kepada mStar. Ramli berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media program Travel Lawak: Projek Bapak-Bapak musim kedua yang diadakan pada Khamis lalu. Dalam pada itu, Ramli berkata, dia tidak mahu melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kepakarannya selain merasakan peluang itu sepatutnya diberikan kepada individu lebih layak.
"Pada saya ada perkara yang kita boleh buat dan sebaliknya... Bagi sahaja pada individu yang memang pandai berlakon," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, dia setuju kembali dalam musim kedua program Travel Lawak: Projek Bapak-Bapak kerana mengenangkan silaturahim yang terjalin antara peserta lain sebelum ini. "Saya bersetuju sekali lagi menyertai projek Bapak-bapak ini disebabkan silaturahim kami sebagai sahabat... Selain itu ini adalah perkara baru dalam kerjaya saya. "Saya sangat teruja kerana aktiviti yang kami lakukan bukan benda biasa saya buat dalam kehidupan seharian dan bukan juga sebab wang tetapi persahabatan," jelasnya. Selain Ramli, program itu turut membariskan selebriti Datuk Jalaluddin Hassan, Roy Azman dan Jatt Ali. Musim kedua bakal memperlihatkan kesemua mereka menggembara ke Australia bagi melakukan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar kemampuan serta kesabaran peserta. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT