Penyanyi rap, Zamaera muncul dengan jenama Queendom Fest iaitu festival muzik wanita pertama yang bakal berlangsung pada bulan Disember nanti. Pemilik nama sebenar, Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros, 28, berkata, idea menganjurkan Queendom Fest muncul apabila melihat kurangnya penyertaan artis wanita menyertai festival tempatan kerana persembahan di pentas banyak didominasi artis lelaki.
"Sebagai seorang penyanyi rap wanita yang selalu membuat persembahan di pentas besar, saya dapati wakil artis wanita di festival muzik tempatan dan 'showcase' sentiasa dikalahkan artis lelaki. Tahun lalu saja, lebih 14 festival dianjurkan dan 84 peratus penghiburnya lelaki. "Senario muzik semakin berkembang dan kami melihat semakin ramai artis wanita yang muncul. Saya rasa itu harus mencerminkan peluang yang kami sediakan kepada wanita dalam industri kreatif. "Atas nama kesaksamaan dan cinta yang tulen terhadap seni dan budaya, saya mahu melihat masa depan yang lebih cerah untuk industri kreatif wanita negara ini," katanya.
Zamaera berkata, kerjasama dengan ramai tenaga profesional lelaki dalam industri kreatif mendorong wanita melangkah ke hadapan. "Queendom Fest bekerjasama dengan ramai tenaga lelaki dalam industri dengan memberi kepakaran dan pengetahuan mereka. Contohnya penganjur saya dari TONGTONG Asia, Jin Hackman. "Berbanding dengan beberapa negara lain di mana hak wanita sebahagian besarnya didiskriminasi, Malaysia ada pelbagai laluan untuk wanita berjaya. "Banyak lagi untuk kami perbaiki secara keseluruhan, tetapi langkah seperti ini akan memberi manfaat kepada penambahbaikan agenda kami dalam memperjuangkan wanita melalui seni, budaya dan keusahawanan,' katanya. Queendom Fest yang disokong sepenuhnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan My Creative Ventures bukan saja menjadi acara yang mempamerkan penyanyi wanita yang hebat dan bertenaga, malah ia festival yang menawarkan hab jualan serta lokasi bersosial yang mengandungi lebih 40 perniagaan dan vendor tempatan milik wanita. Festival ini akan ditunjangi Zamaera dan disokong barisan penyanyi wanita lain seperti Dolla, Hullera, Jovynn, Yunohoo, Lil Asian Thiccie, Meliha, The Impatient Sisters, MJisvicious dan SYA. Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|