Penerbit Man On The Run (MOTR), Fabian W. Joseph tidak menyangka naskhah tersebut diluluskan sepenuhnya oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi tayangan di Malaysia. Pada awalnya, pihak produksi berdepan kegusaran kemungkinan filem dokumentari mengenai skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) itu bakal berdepan kesukaran untuk ditayangkan di pawagam.
Namun selepas melalui proses LPF, filem arahan pengarah dari Korea iaitu Cassius Kim itu diluluskan 100 peratus tanpa sebarang potongan. "Kami melalui proses standard untuk memohon LPF... sejujurnya kami tidak mendapat sebarang bantahan dan kami juga agak terkejut. "Pada mulanya kami merasakan naskhah ini tidak lulus untuk ditayangkan di pawagam tetapi akhirnya kami dapat kebenaran untuk menayangkan filem ini di pawagam. "Cerita ini perlu dikongsi dan ditonton kerana berkaitan dengan rasuah dalam negara. Anak-anak kita perlu tahu apa yang pernah terjadi di Malaysia," katanya kepada mStar.
Fabian berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tayangan perdana Man On The Run yang diadakan di GSC Midvalley, Kuala Lumpur pada malam Selasa. Berkongsi cabaran sepanjang pembikinan dokumentari ini, Cassius berkata kisah skandal global ini perlu digarap sebaiknya kerana ia membabitkan beberapa tokoh negara. Malah, dia perlu mengatur jadual menemu bual individu terlibat dalam skandal ini termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Saya rasa cabaran utama kami adalah bagaimana mahu menggarap kisah skandal global ini menjadi sebuah filem. "Potongan filem pertama sekitar hampir 4 jam... ia bukan hanya sekadar memaparkan skandal 1MDB tetapi termasuk evolusi politik yang berlaku di Malaysia. "Kami juga berdepan kesulitan untuk mendapatkan masa yang sesuai bagi menemu bual Najib,” ujarnya. Ditanya adakah pihak produksi menerima sebarang ancaman sepanjang proses menghasilkan filem ini, Fabian memberitahu dia menerima kerjasama baik daripada semua pihak. "Kami tidak menerima sebarang ugutan sewaktu menghasilkan filem ini tapi kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga. "Tiada sebarang gangguan sepanjang penggambaran dan semua pihak memberikan kerjasama dengan begitu baik. "Tujuan filem ini bukan untuk menunjukkan keburukan Malaysia tetapi hanya mahu menceritakan kisah sebenar yang berlaku di negara kita, mungkin disebabkan itu kami tidak berdepan dengan banyak masalah,” katanya. MOTR memaparkan kisah benar mengenai amalan rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara. Ia turut membabitkan individu yang dikehendaki iaitu Jho Low, seorang ahli perniagaan misteri yang merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi 1MDB. Filem MOTR ini akan ditayangkan di pawagam di Malaysia bermula Khamis ini. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT