Berbanding pada awal kemunculan, nama Sharifah Rose kini agak tenggelam dan sudah jarang muncul di televisyen. Namun Rose kata kata karier seninya masih bertahan selepas dua tahun dalam bidang seni.
"Saya tidak berasa nama tenggelam atau merudum seperti tanggapan orang kerana saya masih dapat undangan berlakon dua projek drama pada awal tahun ini. Cuma saya tidak 'back to back' berlakon seperti awal kemunculan dulu. "Selepas membabitkan diri dalam perniagaan tudung, saya juga perlu bijak mengatur antara karier seni dan perniagaan supaya bergerak seiringan," katanya kepada Harian Metro. Tambahnya dia perlu fokus pada perniagaan tudung tahun ini kerana merancang untuk membuka kedai tidak lama lagi.
"Selepas agak lama bercuti, saya juga rindu untuk kembali semula ke lokasi penggambaran. Jadual saya agak padat selepas drama pertama, Kekasih Hati Mr Bodyguard dan selepas itu saya terbabit penggambaran drama Do You Love Me Captain pula. "Saya bersyukur Do You Love Me Captain yang ditayangkan tahun lalu juga dicalonkan sebanyak lima kategori di Anugerah Telenovela serta masih diulang tayang di TV," katanya. Mengenai kemunculan wajah baharu termasuk pempengaruh media sosial yang membanjiri industri hiburan pula, kata Rose, dia tidak tergugat kerana sudah menjadi trend wajah baharu mewarnai industri pada setiap tahun. "Saya pun bermula dari pempengaruh sebelum terjun dalam bidang lakonan. Industri seni akan bertukar wajah dan saya juga tidak melihat ia sebagai persaingan kerana mereka juga rakan dalam industri. "Muka baharu ini penting sebagai pelapis menggantikan pelakon senior seperti Datuk Aaron Aziz dan Tiz Zaqyah pada masa depan."
Dari segi persaingan pula, kata Rose, dia tidak melihatnya sedemikian kerana lebih suka bekerjasama dengan mereka. "Contohnya pelakon baharu, Erysha Emyra yang sama-sama aktif sebagai model bersama saya kini sudah mula berlakon. Saya juga tumpang gembira dengan perkembangannya itu. Industri seni kita kecil saja dan kita juga akan jumpa orang sama bila terbabit dalam bidang ini," katanya. Nama Rose juga masih di puncak populariti apabila dicalonkan dalam kategori Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 dan berada dalam kelompok Top 5 serta duduk sebaris dengan Anna Jobling, Puteri Sarah Liyana, Raysha Rizrose dan Siti Saleha. Rose juga ada strategi sendiri untuk mengekalkan namanya dalam industri hiburan tanah air. "Mungkin wajah saya jarang keluar TV ketika ini. Namun, apa saja yang saya muat naik di platform media sosial mendapat perhatian netizen. "Contohnya, nama saya terpalit dengan kontroversi bila bersalam dengan penyanyi terkenal dari Thailand, Bright Vachiravit dan cerita itu juga menjadi tular pada awal tahun ini," katanya.
Soal kecaman netizen pula, kata Rose, dia melihatnya sebagai pakej bila terbabit dalam industri seni. "Kecaman atau kritikan itu ada kebaikan dan keburukannya kerana perkara baik atau buruk pun akan meraih perhatian netizen. Bersandarkan pengalaman, saya juga sudah mengendalikannya lebih matang berbanding dulu," katanya. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam lakonan dan perkara baharu yang dipelajarinya. "Kalau dulu babak menangis kena guna produk 'eye mo', tetapi sekarang saya sudah boleh menangis sendiri seperti dikehendaki. "Banyak lagi watak yang saya mahu lakonkan selepas watak berat seperti wanita tersakiti dan ditinggalkan. Contohnya, saya melakonkan watak baharu, 'happy go lucky' dalam drama romantik komedi berganding dengan Sean Lee. "Saya akui bukan mudah berlakon cerita komedi atau buat orang ketawa. Itu pengalaman yang saya lalui ketika muncul dalam program Sepahtu Reunion sebelum ini. Saya juga mahu mencuba berlakon dalam cerita seram dan klasik," katanya.
Rose juga berminat mahu mencuba bakatnya beraksi di pentas teater mahupun filem pada masa depan. Namun, setakat ini belum ada tawaran berlakon projek filem lagi. "Saya mahu mencuba berlakon teater kerana mahu mengatasi 'stage fright' (ketakutan di atas pentas) sejak dulu. Saya ada dapat tawaran buat teater sebelum ini, tetapi ketika itu sibuk dengan perniagaan ketika puasa dan Aidilfitri," katanya.
Pelakon yang hangat digosipkan dengan Ezzrin Loy ini mengakui statusnya kini adalah 'single but not available'. Menurut Rose, dia kini berkawan rapat dengan seorang jejaka yang mempunyai minat sama dengannya. "Saya selesa berkawan dengannya kerana kami sudah kenal lama dan dia juga memiliki perniagaan juga. Dia juga ada cita-cita yang mahu dicapai dulu dalam perniagaannya sama seperti saya," katanya yang memberi tempoh beberapa tahun lagi untuk berkahwin kerana mahu mengukuhkan karier dan perniagaan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|