Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan miliknya, Nurjiwa Foundation. Siti menerusi Instagram berkata, wakil pihak pengurus sekolah Afwa Al Afiyyah yang berada di Gaza telah menyampaikan sumbangan buat rakyat Palestin.
"Dr Mohanad bersama-sama petugas di Afwa Al Afiyyah hari ini memberi bantuan kewangan iaitu setiap keluarga USD100 bagi penduduk Palestin yang dapat kami bantu hari ini. "Pada hari ini, pihak Nurjiwa Foundation terus menyumbang RM100,000 untuk keperluan di sana," tulisnya. Tambahnya lagi, wakil di sana memaklumkan apa yang termampu kini adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk setiap keluarga memberi makanan. "Suasana di sana memang sukar apabila terlalu ramai beratur untuk membeli makanan namun itulah situasinya. "Apa yang terbaik dan termampu adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk mereka mendapatkan keperluan.
"Alhamdulillah, sehingga petang tadi (semalam), pihak kami masih dapat menghubungi Dr Mohanad walaupun panggilan dan mesej tersekat-sekat kerana internet tidak stabil di sana tetapi Nurjiwa Foundation tidak mahu menunggu lama kerana bantuan itu adalah harapan mereka dan bantuan anda adalah tanggungjawab kami untuk disampaikan kepada mereka. "Kami akan terus berusaha menyalurkan sumbangan ini secara berterusan dari semasa ke semasa" kata Siti lagi. Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan usaha yang dilakukan itu bukanlah bertujuan menunjuk-nunjuk tetapi sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah "Saya tidak ada niat lain, saya hanya hamba Allah yang ada tanggungjawab. Saya bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi saya bahagia dapat berkongsi dengan anda yang telah bersama-sama dengan Nurjiwa Foundation untuk membantu saudara kita di Palestin," katanya. Sumber: Xtra |
ADVERTISEMENT