Medan, Indonesia: Seorang lelaki yang bekerja mencari bahan kitar semula sanggup merompak sebuah rumah dan mencuri wang tunai lebih RM24,050 (80 juta rupiah) demi menjalani kehidupan mewah.
Suspek berusia 27 tahun itu kemudiannya menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli motosikal dan melancong ke beberapa kawasan di Indonesia yang bermula dari Medan. Bukan itu sahaja, perjalanan selama tujuh bulan dilakukan bersama isterinya. Menurut pegawai polis Kota Kisaran, Parlaungan Pane, suspek lelaki telah merompak sebuah rumah pada Mac lalu. “Dia bekerja sebagai pengutip barang kitar semula. Tindakannya memecah sebuah rumah telah dirakam CCTV (kamera litar tertutup). “Menerusi rakaman, dia kelihatan mundar mandir di sekitar rumah mangsa bersama satu guni. Selepas mendapati rumah tersebut kosong, dia mengumpil dan menyelinap masuk,” katanya.
Susulan tindakannya itu, dia menemukan wang tunai lebih RM24,050 bersama beberapa barangan kemas dan telefon pintar yang keseluruhannya berjumlah RM32,440 (107 juta rupiah). Selepas menghabiskan wang hasil rompakan tersebut, suspek pulang semula ke kampung halamannya bersama isteri sebelum kedua-dua mereka ditahan pasukan polis. Tambah Parlaungan, suspek mengaku melakukan rompakan dan menggunakan wang tersebut untuk membeli motosikal dan melancong di beberapa lokasi. Malah katanya, dia lakukan perbuatan tersebut seorang diri tanpa melibatkan isterinya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT