Hasrat Azad Jasmin untuk meminjam RM100 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘berjaya’ setelah bertemu beliau di Bangunan Parlimen, baru-baru ini. Dalam rakaman video berkenaan, Azad pada mulanya gementar sebelum bertemu Anwar bagi menyampaikan hasrat tersebut.
Namun, setelah berjumpa dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Azad dengan beraninya memperkenalkan diri sebelum menyampaikan hasratnya untuk meminjam RM100. “Assalammualaikum Datuk Seri, saya Azad. Bolehkah saya nak pinjam RM100,” katanya ketika berjabat tangan. Lebih menghiburkan hati, Perdana Menteri memegang poketnya untuk mencari wang seakan-akan tidak biasa dengan trend ‘Pinjam RM100’ yang tular di media sosial sekarang. Akhirnya Azad dengan segera menukar permintaannya dengan meminta 100 kata-kata semangat daripada Perdana Menteri.
“Teruskan usaha, masa yang terbaik sekarang untuk beralih daripada keadaan lama kepada keadaan baru dalam negara kita. “Tata kelola yang baik dan semangat rakyat untuk selamatkan negara dan angkat martabat Malaysia sebagai negara yang hebat,” nasihat Perdana Menteri. Di ruangan komen mendapati ramai yang terhibur melihat keberanian Azad untuk bergurau dengan Perdana Menteri untuk menyampaikan hasrat tersebut. “Aku tunggu punya lama akhirnya dapat 100 kata semangat. Ini lagi bernilai daripada nilai RM100. Good job (syabas) Pak Azad,” komen Hariz. “Daripada nak pinjam RM100, terus automatik jadi 100 kata-kata semangat,” komen Dean. “Mula-mula memang Perdana Menteri nak seluk poket dah tu. Apa-apa pun terbaik Pak Azad sebab berani jumpa dengan PMX,” komen seorang pengguna yang lain. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT