Penyanyi Naufal Azrin tidak menganggap kontroversi memberi kesan biarpun pernah dikecam teruk soal imej dan penampilan. Naufal atau nama sebenarnya, Ahmad Naufal Azrin, 25, berkata dia sudah mampu menepis kata-kata yang boleh menjatuhkan dirinya dan hanya mengambil perkara positif sebagai pendorong semangat.
"Saya tidak ambil kisah apa yang orang nak cakap. Nak cakap apa, cakaplah. "Selagi emak restu dengan jalan kerja saya, biarlah orang nak cakap apapun. Janji tidak datang depan muka dan tumbuk saya. "Boleh juga dikatakan saya sudah kalis dengan kecaman, kalau nak 'tembak' pun, 'tembaklah', insya-Allah saya boleh tepis," katanya kepada BH Online. Naufal yang mula menjinakkan diri dalam bidang lakonan juga mahu terus mengembangkan sayap seninya dalam bidang lakonan. Katanya, dia seronok diberi peluang membintangi drama One Million Dollar Voice, meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki sebagai pelakon.
"Berlakon antara pengalaman baharu, saya tak pernah berlakon dalam mana-mana drama. "One Million Dollar Voice adalah drama pertama saya. "Jujurnya, saya rasa seronok dapat bekerjasama dengan ramai pelakon sebab mereka tidak menghakimi saya. Misalnya, saya ada buat kesilapan dan sebagainya. "Sebaliknya, rakan pelakon bantu dan ajar untuk buat saya lebih yakin. Saya buat apa yang saya rasa selesa dan pengarah suka, Alhamdulillah. "Jadi, sekiranya ada tawaran saya kena tengok watak dan skrip diberikan. Setakat ini, belum ada tawaran lagi, jadi saya mahu fokus dengan lagu baharu bersama Nuha Bahrin," katanya. Dalam masa yang sama, penyanyi yang pernah menyertai kumpulan nasyid Zayne itu turut mengakui penyertaannya dalam program realiti membantunya menimba ilmu baharu yang boleh diguna pakai untuk perjalanan sebagai penyanyi. "Saya akui penyertaan menerusi program realiti, Big Stage 2023 antara pengalaman manis dalam hidup. "Program realiti membuka mata saya untuk bergerak lebih maju dalam industri seni ini," katanya. Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Casablanca ini sedang mengusahakan lagu duet bersama Nuha. "Kami tak boleh kongsi lagi sebab ada projek yang akan digerakkan dalam masa terdekat," katanya. Naufal berkata, dia dan Nuha berniat meneruskan jenama duet selagi mendapat sambutan positif. "Kami nak lihat rezeki, bagaimana penerimaan. Andai kata orang ramai lebih menerima lagu duet, jadi kami akan hasilkan lagu duet. "Kalau ada rezeki mengeluarkan single solo, kami akan bergerak juga," katanya. Naufal dan Nuha antara selebriti yang menjayakan Malam Gala Amal Selebriti Asia 2023 (MCEH 2023) yang dijadualkan pada 26 November depan. Sumber: BH Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|