Studio Kembara Sdn Bhd perlu bersikap telus dan jujur terhadap keputusan 'menyingkirkan' pengarah asal filem prekuel, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Areel Abu Bakar. Beto Kusyairy berkata, bagi mengelakkan wujudnya persepsi negatif terhadap syarikat produksi itu langkah paling tepat adalah menjelaskan keadaan sebenar.
"Keputusan untuk singkirkan pengarah itu harus lebih telus dan jelas supaya individu yang terbabit itu boleh terima. Dalam hal ini kita harus berlaku adil sebab kita baru dengar sebelah pihak sahaja. "Jangan singkirkan tanpa alasan yang kukuh. Bila tak ada sebab, orang akan nampak benda negatif pada produksi terbabit. Jadi mereka kena buat sesuatu," katanya kepada Harian Metro. Menurut Beto, dia mengaku terkilan dengan kemelut yang menimpa filem berjudul Pendekar Awang itu.
"Saya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa pengarah serta naskhah itu sendiri tapi entahlah saya malas nak ambil tahu puncanya kerana saya dah 'move on'. "Cuma saya terkilan kerana isu yang berlaku itu menimpa kepada rakan-rakan kita dalam industri. Apapun saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk mereka. Saya tak nak tambah 'minyak' (panaskan keadaan)," katanya. Dalam masa sama, Beto memberitahu, dia ada bertemu dengan beberapa tenaga produksi dan pelakon yang membintangi filem sekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjudul Pendekar Awang itu. "Saya ada bertemu Areel dan Nadhir Nasar yang turut terbabit dalam naskhah itu. Saya pesan kepada Nadhir supaya baki penggambaran dihabiskan. Jangan ada rekod buruk tidak melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon. Selagi tidak dibuang, lakukan kerja itu dengan sehabis baik," katanya.
Terdahulu, penerbit filem itu, Shahruddin Mt Dali memaklumkan, penamatan kontrak Areel ketika penggambaran sedang berjalan dilakukan atas sebab tertentu, bukan masalah peribadi. Shahruddin yang juga penulis skrip bagi naskhah berkenaan berkata, keputusan menggugurkan Areel dimuktamadkan ketika penggambaran memasuki hari ke-55. Bagaimanapun, Shahruddin mengambil pendekatan tidak mengulas secara terperinci mengenai puncanya dan menegaskan ia sudah dipersetujui Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|