Selepas membantu Zamani Slam, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi mengambil insiatif membantu penyanyi era 1980-an, Ibnor Riza pula yang menderita kanser limfoma tahap empat. Aznil, 60, berkata, dia bertemu Ibnor baru-baru ini dan dapat bercakap sedikit dengannya berkaitan kesihatannya.
Menurutnya, dia tergerak hati untuk membantu dan semangatnya kuat untuk membantu apabila melihat video luahan Ibnor yang terpaksa menjual tiga kereta miliknya bagi membiayai kos rawatan kanser yang dihidapi. Keputusan ini dibuat Ibnor bukan saja untuk menampung kos rawatan, tetapi juga kos untuk hidup kerana dia terputus punca pendapatan sejak November lalu. Ibnor juga masih terus menyanyi dan bersyukur suaranya sudah 80 peratus pulih dan berusaha mencari wang agar tidak menjadi seorang peminta-minta. "Dia cakap dia masih lagi nak menyanyi untuk tampung hidup, kos kesihatan dan juga kos sara hidup. Pak Nil tak tahulah dalam keadaan kesihatannya sebegitu, berapa banyaklah 'show' dia mampu buat.
"Dan berapa banyak duit yang boleh dia kumpul untuk kelangsungan hidup dan kos perubatan beliau kena buat kemoterapi dan pada waktu yang sama kos perubatannya sangatlah mahal. "Pak Nil terpanggil sekali lagi untuk membantu penyanyi Ibnor Riza yang kita membesar dengan lagu-lagunya," katanya menerusi hantaran video di Instagram. Menurutnya, setiap orang boleh mendoakan agar Ibnor sembuh tetapi pada waktu sama doa saja tidak mencukupi. Untuk itu dia ingin bersama-sama pengikutnya melakukan kerja yang pernah dilakukan. "Kali ini Pak Nil buka akaun Pak Nil untuk anda sampaikan derma infak anda kepada abang Ibnor Riza. Beliau sendiri tak minta untuk derma ini dilakukan. "Pak Nil tahu sebagai seorang anak seni, beliau rasa beliau masih lagi boleh cari duit dalam keadaan beliau sekarang. "Pak Nil terfikir ini mungkin melambatkan proses untuk mendapatkan duit atau ia akan menganggu lebih teruk lagi kesihatan beliau," katanya. Aznil berkata, biarpun tidak meminta dibantu, sebagai penggiat seni dia tetap mengambil inisiatif membantu Ibnor Riza. Mereka yang sudi boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 564735809375 (Aznil Nawawi). Terdahulu Aznil, pernah membantu mengumpul dana untuk membantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis tahun lalu. Usaha ini berjaya mengumpul wang berjumlah lebih RM100,000 dan penyanyi popular terbabit selamat menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada 7 November tahun lalu. Sumber: Harian Metro |
...Pak Nil terpanggil sekali lagi untuk membantu penyanyi Ibnor Riza yang kita membesar dengan lagu-lagunya..
ADVERTISEMENT