Aina Abdul jawab tuduhan gunakan orang tengah bagi mendapatkan inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Bagi mendapatkan dana tersebut, Aina juga perlu melalui prosedur sama seperti orang lain iaitu menyerahkan kertas kerja dan pitching (pembentangan) di hadapan panel penilai yang tidak dikenali. "Kita ikut setiap prosedur macam biasa, sama macam semua yang mohon iaitu buat proposal dan seterusnya sesi pitching proposal itu. "Kenyataan mengatakan saya kenal orang dalam, 100 peratus fitnah! Ini kerana saya tidak tahu pun siapa panel itu. Saya percaya bukan seorang sahaja panel, mesti ramai," katanya kepada mStar. Sebelum itu, namanya menjadi sebutan di aplikasi X selepas tular senarai nama penerima DKD membabitkan selebriti.
Ada netizen mendakwa Aina menggunakan orang dalam bagi mendapatkan dana tersebut. Malah ada pihak berpendapat Aina tidak layak menerima dana disediakan itu kerana dia sudah popular dan dikenali ramai. Sementara itu Aina berkata dia tidak memarahi mana-mana individu yang menfitnah dan melontarkan kata-kata kesat terhadapnya namun memohon agar mereka menjaga tutur kata sebelum menulis komen di media sosial.
Baginya, tidak menjadi kesalahan apabila seseorang tampil memohon dana tersebut kerana ia adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak. Populariti yang diraih sejak lima tahun kebelakangan ini masih belum mampu menampung kos untuk mengadakan konsert besar menggunakan perbelanjaan sendiri.
"Memanglah orang kata Aina Abdul dah menang AJL (Anugerah Juara Lagi), ada persembahan sana-sini, jadi kenapa nak mohon dana juga? "Saya mula (konsert) 1.0 tiada sponsor, yang kedua pun kita hampir-hampir tidak mendapat elaun, hujung-hujung baru dapat. "Kita buat konsert ini melibatkan duit yang sangat banyak. Aina Abdul Entertaiment tidak dapat nak berdiri sendiri begitu sahaja. Saya baru dalam industri ini dan baru lima tahun dikenali.
"Jadi, populariti itu tidak mampu untuk menampung perbelanjaan yang sangat besar terutama untuk persembahan di Axiata Arena," ujarnya. Dalam masa sama, Aina meluahkan rasa syukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima DKD yang telah mula diperkenalkan pada April 2015 lalu. Aina turut berharap supaya orang ramai dapat menghentikan sebarang spekulasi negatif terhadap dirinya berkenaan dana tersebut. "Kepada siapa yang beri atau bercakap negatif tentang rezeki ini, saya harap semua dapat hentikan dan tidak meneruskan benda yang tidak betul ini," ujarnya.
Untuk info, DKD merupakan satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan ia merupakan kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang dilancarkan pada 2021. Ia bertujuan untuk memperkemaskan dan mempermudahkan penyaluran dana-dana berkaitan industri kandungan kreatif. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|