Lah Ahmad mengamalkan puasa sebagai penjagaan rohani kerana ia bukan sahaja mendapat pahala tetapi sebagai cara menambah tenaga apatah lagi pada konsert kali ini memerlukan dia menyanyi lebih 20 buah lagu.
"Secara peribadi, saya ini kalau setakat menyanyi satu atau dua buah lagu masih lagi biasa... tetapi kalau untuk 20 lagu ni perlukan stamina lebih sedikit. "Insya-Allah saya pun dah mula berpuasa sunat bulan ini... tidaklah setiap hari tetapi dalam dua kali seminggu. "Tujuan saya berpuasa untuk menambahkan kekuatan. Bagi saya, apabila kita berpuasa rasa seperti tenaga bertambah," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Lah berkongsi sebelum ini dia pernah mengikuti kelas agama dan teringat akan kata-kata yang diberikan oleh seorang ustaz tentang aura penyanyi yang mempengaruhi penonton. Kata Lah, seorang penyanyi perlu membersihkan jiwa terlebih dahulu untuk memberikan aura positif kepada peminat. "Sewaktu saya pergi belajar agama dahulu, ustaz ada pesan apa yang kita menyanyi akan masuk ke dalam hati pendengar. "Apa yang kita menyanyi itu masuk ke hati peminat. Nyanyian saya adalah instrumen saya. Saya mahu apa yang saya nyanyikan itu biarlah 'masuk' ke hati peminat dengan bercahaya," ujarnya.
Tambah Lah lagi, dia percaya tentang semangat kerohanian dan mengambil langkah berpuasa sebagai salah satu cara untuk membersihkan jiwa. "Saya percaya spiritual itu juga penting. Jadi ikhtiar saya untuk berpuasa itu juga antara salah satu cara membersihkan jiwa. "Kalau jiwa kita sakit, macam mana kita nak sampaikan nyanyian yang boleh memberi nilai positif kepada pendengar... orang yang dengar pun boleh jadi 'sakit'," katanya.
Sementara itu, penyanyi lagu Kau Tercipta ini memberitahu tiket 'Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta' sudah terjual sebanyak 70 peratus. Istimewa buat peminat, potongan diskaun sebanyak 25 peratus diberikan untuk tiket Ayu dan Ulang Tahun. Tambah Lah, mereka turut mengundang beberapa penyanyi jemputan untuk memberikan kejutan pada malam tersebut.
"Alhamdulillah, sebanyak 70 peratus tiket sudah terjual dan kini kami memberikan potongan diskaun 25 peratus untuk menghabiskan tiket yang selebihnya. "Konsert itu nanti akan menampilkan beberapa penyanyi undangan yang akan kami perkenalkan pada malam itu... saya berharap penonton akan terhibur dengan kejutan yang diberikan," jelasnya. Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 Oktober ini. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|