CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Melaka Lantik 10 Penyelidik Lengkap Kajian Mengenai Hang Tuah

24-9-2023 01:28 PM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 874| Komen: 2

Ayer Keroh: Kerajaan negeri melantik 10 penyelidik serta pakar sejarah dari beberapa univerisiti tempatan untuk melengkapkan kajian penyelidikan mengukuhkan kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu.


Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pasukan pengkaji Hang Tuah dan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu diketuai bekas Naib Canselor Universiti Melaka Datuk Dr Mohd Taib Dora dan dibantu Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin (Universiti Putra Malaysia) serta Dr Mardiana Nordin (Universiti Malaya).


Beliau berkata, sebelum ini beberapa ahli pasukan penyelidik itu berjaya mengenal pasti banyak sumber baharu yang masih belum diterokai serta mengesan banyak khazanah serta artifak yang masih tersimpan di beberapa negara seperti Jepun, India, Portugal, Turkiye, China, Brunei, Indonesia dan Thailand.

"Kerajaan negeri yakin jika kita berjaya menemukan khazanah baharu ini dan membawa pulang ke Melaka, ia akan memperkayakan lagi khazanah serta warisan sejarah negeri yang selama ini `dibengkokkan' oleh penjajah Barat.


"Ia sekali gus memperkukuhkan lagi ikon pahlawan terbilang Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Rauf berkata, pihaknya yakin penyelidik dan pengkaji itu mampu membawa pulang beberapa khazanah dan artifak asli yang berharga atau sekurang-kurangnya salinan asal membabitkan manuskrip lama yang masih tersimpan di negara terbabit.

Katanya, sekiranya berjaya membawa pulang kelak, ia akan dijadikan tontonan umum khususnya peminat sejarah Melaka serta pelajar terutama pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Saya berterima kasih kepada semua penyelidik yang sudi membantu kerajaan negeri dalam perkara ini dan saya harap kita sama-sama mendoakan kejayaan mereka membawa pulang khazanah baharu Hang Tuah ke Melaka," katanya.

Sebelum ini, Ab Rauf mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk membawa pulang satu manuskrip lama dipercayai sepucuk surat yang didakwa diutuskan oleh Maharaja Rom kepada Hang Tuah suatu ketika dahulu.

Surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja itu yang juga pelukis terkenal potret Monalisa, Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City.

Ia disahkan Dr Rohaidah yang juga seorang daripada penyelidik dan pengkaji sejarah itu selepas melakukan kajian ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan terbabit menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama 'Laksamana Orang Muda'.


Sumber: Harian Metro






Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote clueless_gamer 24-9-2023 01:50 PM
Daeng Mempawah Nama Asal Hang Tuah

Hari ini, pengkaji terus menyelongkar Sejarah Lampau. Kali ini, penulis cuba berbicara mengenai asal usul Hang Tuah yang dikatakan Pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menyebut dari mana Hang Tuah berasal. Berikut adalah kenyataan beliau :

Maka sembah Seri Bija Pikrama, " Sebenarnyalah titah tuanku itu ; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku." Adapaun anak Raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya ; umurnya baru dua belas tahun. Diceritakan orang yang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.

Setelah ke esokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap Raja Mengkasar, didapatinya Raja di Goa telah pepak diadap orang. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh Raja di Goa utusan kedua itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah. Maka titah Raja di Goa, "katakan kepada saudaraku, Orang Kaya, akan Daeng Mempawah ini pertaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, Raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku, Raja Melaka, dalam Mengkasar ini menyuruh ia kepada aku." Maka sembah utusan kedua itu, "Baiklah tuanku."

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang. Maka baginda pun keluarlah, semayam diadap segala Orang Besar-Besar dan hulubalang sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa Daeng Mempawah.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu, Maka titah baginda, "Bagaimana maka Raja Mengkasar berkirimkan anak Raja Bajung ini ?" Dilanggarkah Raja Bajung maka anaknya tertawan ini ?"

Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada Tuanku, Raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah. Maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah Keris Tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya.

Adapun 'perhangan' ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Husssin serta tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.

Kesimpulannya, nama asal Hang Tuah ialah Daeng Mempawah anak daripada Raja Mengkasar. Jika dilihat nama asal Hang Tuah iaitu "Daeng", beliau adalah berketurunan Bugis. Seperti juga Daeng Kemboja, Daeng Chelak, Daeng Parani, Daeng Merewah dan lain-lain.


Rujukan :

A. Samad Ahmad, 2008. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lihat semua komen(2)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-10-2024 10:21 PM GMT+8 , Processed in 0.052311 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top