Hanya kerana gagal menggugurkan kandunga berusia dua bulan, gadis pengsan selepas menjadi ‘karung tinju' teman lelakinya. Episod ngeri mangsa yang berusia 22 tahun itu bermula apabila suspek mendapat tahu dia berbadan dua pada bulan lalu.
Cerita mangsa, kekasihnya itu datang ke rumah sewa untuk bertemu dengannya pada pukul 12.30 tengah hari, 1 September lalu bagi berbincang tentang kehamilan luar nikah tersebut. “Dia (teman lelaki) meminta saya menggugurkan kandungan. Saya menjelaskan saya sudah melakukan perkara yang disuruh termasuk menelan pil gugur janin yang diberikan, tetapi semua usaha tersebut tidak berhasil. “Teman lelaki yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu memukul belakang badan dan lengan sehingga pengsan. “Saya hanya tersedar pada keesokan paginya. Saya mendapati ada kesan lebam pada lengan, hendak bangun pun tak larat sebab sakit. Jadi saya minta seorang kawan untuk menghantar ke hospital,” kata jurujual itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, teman lelakinya juga pernah menumbuk perutnya, namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Jelasnya, penderitaan tersebut bukan baru dialaminya, malah sejak mengenali suspek pada Disember 2022, lelaki berusia 22 tahun itu kerap memukulnya termasuk sekiranya menolak ajakan seks. Sebelum ini, mangsa memendam rasa sakit, namun kali ini perbuatan lelaki itu dianggap sudah melampaui batas. “Saya trauma dan tertekan kerana dia tidak mahu bertanggungjawab terhadap anak dalam kandungan ini,” katanya. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada 4 September lalu untuk tindakan selanjutnya selain bimbang akan keselamatannya. Gadis itu juga bercadang untuk meneruskan kandungan tersebut biarpun dibayangi trauma kerana lelaki panas baran tersebut sudah melarikan diri. “Saya terseksa dan takut. Kalau boleh saya mahu dia dipenjarakan. Saya bimbang dia akan mencari saya sekiranya tidak ditangkap,” ujarnya. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. “Siasatan lanjut akan dibuat selepas polis menerima perintah untuk siasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT