Selepas 14 tahun menjadi pelakon lagak ngeri atau 'stunt man' yang lazimnya diletak sebagai watak sampingan dalam mana-mana projek drama atau filem, akhirnya, Ali Arami, 33, tampil sebagai 'hero' dalam filem Adoiii Jiwaku.
Ali yang mula beraksi dalam filem Kerat 14 pada 2014, menyifatkan transisi dilalui sekarang memberi petunjuk buatnya untuk mempergiatkan usaha agar bakat 'dihidu' syarikat produksi. "Filem Adoiii Jiwaku yang akan ditayangkan di pawagam, Khamis depan, adalah filem pertama saya sebagai watak utama. "Sebelum ini, saya banyak ambil tugas sebagai pengarah dan pelakon lagak ngeri untuk filem. Tetapi, kali ini berbeza kerana dalam filem Adoiii Jiwaku, tiada babak aksi," katanya kepada BH Online. Bagaimanapun, Ali yang mahir dalam seni mempertahankan diri, wushu ini mengaku masih banyak kekurangan perlu diatasi dalam perjalanan menjadi anak seni berkaliber.
"Bagi saya, masih banyak perlu dipelajari. Saya kena cari banyak pengalaman. "Walaupun sudah berkecimpung dalam bidang 'stunt man', untuk bawa watak utama yang disifatkan di luar kebiasaan, masih banyak perlu saya belajar," kata pelakon kelahiran Tapah, Perak ini. Sebagai persediaan menggalas pelbagai watak, Ali mengambil inisiatif menyertai kelas lakonan. "Saya sedar masih mentah. Jadi, latihan untuk berlakon perlu diteruskan. Pada masa sama, saya minta syarikat produksi yang mahu beri 'job', hantar saya ke kelas lakonan. "Bagaimanapun, saya tidak boleh tinggalkan tugas sebagai pengarah aksi... Itu sudah jadi minat saya," katanya.
|
ADVERTISEMENT