Kuala Lumpur: Demonstrasi salun di jalanan. Itu keunikan dibuat pendandan rambut terkenal, Chez Hamdan apabila beraksi dramatik menggunting rambut sepantas kilat di laluan pejalan kaki lampu isyarat berhadapan pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, kelmarin.
Menurutnya, demonstrasi itu juga membawa mesej kecintaan pada negara sempena meraikan Sambutan Hari Malaysia 2023, hari ini. "Demonstrasi ini mengetengahkan konsep selangkah ataupun 'near-to-them'. Sempena meraikan ulang tahun pertama ChezKamya, kami memilih aktiviti keluar bertemu pelanggan dan pengguna dijalanan. Biasanya pelanggan yang datang ke salun. "Titik pertemuan bermula di restoran Daigor Sungei Wang dan berakhir di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur. Orang ramai diberikan produk serta baucer secara percuma, selain berpeluang merakamkan momen 'photodump' di bandaraya Kuala Lumpur.
"Kami juga memanfaatkan kesempatan ini untuk menyatakan rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan jalur gemilang sepanjang berarak. Ia simbolik bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia hari ini," katanya kepada Harian Metro. Chez Hamdan berpengalaman selama 17 tahun dalam industri dandanan rambut selain menjadi antara pengusaha salun Bumiputera yang kekal relevan kerana prestasi baik dalam kalangan pelanggan. Demonstrasi salun di jalanan itu membuatkan warga kota yang melalui kawasan itu teruja melihat ketangkasan Chez Hamdan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT