Kuala Lumpur: Pengguna Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) kini boleh membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) bagi kutipan menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar kini dilaksanakan di kedua-dua lebuh raya itu.
Katanya, alternatif baharu pembayaran tol berkenaan boleh digunakan oleh pengguna kenderaan Kelas Satu (kereta) di lorong yang dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantri. "Sistem itu mula dijalankan di ketiga-tiga plaza tol Lebuhraya GCE iaitu Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September 2023," katany dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, katanya, Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya AKLEH sudah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu. "Satu lorong disediakan di setiap plaza tol untuk proses percubaan sistem itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). "Kaedah ini sebagai tambahan untuk kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch n' Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID)," katanya. Tambahnya, inisiatif itu dijangka menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk pengguna lebuh raya di plaza tol dengan lebih banyak pilihan pembayaran tol, sekali gus menyumbang ke arah penambahbaikan industri lebuh raya negara secara keseluruhannya. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT