SEREMBAN – “Adakalanya anak terpaksa meminum susu pekat manis sebab saya tiada duit, luah seorang bapa, Faizul Haza Hashim, 47, berhubung masalah kesempitan hidup yang dihadapinya dalam membesarkan dua anak yang berusia tiga tahun dan bayi berusia setahun di Flat Templer.
Menurut Faizul, disebabkan ketiadaan wang, dia tidak mampu untuk membeli susu formula untuk bayinya itu. “Bukan setakat susu formula, kadang-kadang lampin pakai buang anak-anak pun saya cuci semula sebab tidak mampu untuk membelinya. “Selama setengah bulan (15 hari), anak saya meminum susu pekat manis bagi menggantikan susu formula sampai dia muntah (sebab meminum susu tersebut),” katanya kepada Kosmo! Jelas lelaki itu, sebelum ini, dia menjual roti canai segera yang diusahakan bersama isterinya dengan pendapatan sebanyak RM20 sehari. Jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka empat beranak.
“Ketika susah ada beberapa individu tampil membantu memberikan barangan dapur. “Apa makanan yang ada, kami makan. Hendak makan nasi bersama lauk jarang sekali” ujarnya. Tambahnya, baru-baru ini dia mendapat tawaran kerja sebagai pengawal keselamatan di Seremban, namun tidak mampu membeli pakaian seperti kasut dan seluar kerana tiada wang. Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0511241100030332 atas nama Faizul atau menghubungi lelaki itu di talian 017-201 4128. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT