Aina Abdul, 29, mengakui lelah berdepan kritikan dan komen negatif berhubung fesyen dan penampilan yang didakwa berlebihan. Bagaimanapun, Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani bukan selebriti yang bersikap ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’ kerana setiap teguran dimanfaatkan, tidak sedikitpun Aina menongkat ke langit tinggi.
Anak kelahiran Johor Bahru ini mengambil iktibar dan cuba sedaya upaya untuk tidak mengulangi persalinan yang aneh-aneh dan terlalu bermegah-megah pada konsert A Night With Aina Abdul yang bakal berlangsung di Axiata Arena, 18 November depan. “Saya terima setiap teguran dan percaya semua orang ada pandangan masing-masing. Ada yang baik untuk saya dan ada juga yang tidak. Tapi saya pasti peminat akan rindu kalau penampilan saya terlalu sederhana. Oleh demikian, saya akan lakukan apa yang terbaik untuk diri saya dan peminat.
“Baju saya pada konsert itu nanti tidaklah begitu aneh sebab saya tak mahu mengganggu nyanyian. Mungkin persalinannya nanti akan diperbanyakkan namun setiap satunya memberi impak dan memudahkan saya untuk membuat persembahan. Yang penting, kriteria Aina Abdul itu tetap ditonjolkan. “Saya sudah meminta penata rias yang dilantik, Abu untuk menghasilkan penampilan yang membuatkan saya kelihatan cantik sahaja, tidaklah pelik sangat. Saya sebenarnya sudah terlalu penat menerima kecaman,” katanya. Kongsi penyanyi lagu Terus Hidup ini, timbul kerisauan dalam dirinya apabila komen-komen negatif yang dilayangkan netizen, memakan emosi keluarga, lebih-lebih lagi ibunya. “Kadang kala kecaman itu tidak ‘memakan’ saya, tetapi memberi kesan kepada keluarga lebih-lebih lagi ibu saya. Alhamdulillah saya kuat, tetapi ada hari yang saya terkesan dengan komen-komen negatif. “Segala apa yang saya terima hari ini juga berkat doa ibu saya, jadi saya tak boleh mengabaikan permintaannya yang beberapa kali meminta saya elak membuat perkara-perkara yang boleh mencetuskan kontroversi. Dia pada saya tetap nombor satu,” katanya lagi. Selepas kejayaan konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 edisi pertama dan kedua, penyanyi ini mengorak langkah dengan edisi ketiga di sebuah lokasi yang lebih besar. Berbeza dengan konsertnya sebelum ini, Aina kali ini lebih menggembirakan hati peminat apabila meletakkan kadar harga mampu milik bagi tiket konsertnya kali ini. “Saya terkesan apabila dihujani komen netizen yang rata-rata menyifatkan harga tiket konsert saya terlalu mahal dan membanding-bandingkan dengan konsert penyanyi lain. Keadaan itu membuatkan saya tidak senang hati.
|
ADVERTISEMENT