CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Budak Mangsa Dera Bapa Dan Ibu Tiri Diberi Nasi Lauk Cili, Garam Dan Lada Hitam

15-9-2023 09:52 AM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 1361| Komen: 1

Description: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai didera bapa dan ibu tirinya turut diberi makan nasi putih berlauk cili, garam dan lada hitam sehingga bibirnya luka selain ditendang, dipukul dan ...
Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai didera bapa dan ibu tirinya turut diberi makan nasi putih berlauk cili, garam dan lada hitam sehingga bibirnya luka selain ditendang, dipukul dan dirotan.


Mangsa yang diselamatkan orang awam selepas berjaya melarikan diri dari rumah keluarganya di Bahau, Jempol pada Selasa lalu mendakwa sering menjadi mangsa kekejaman bapa kandung dan ibu tirinya yang disapa sebagai mama.

Katanya, kesan parut luka dan lebam pada anggota badan termasuk di tangannya disebabkan sering dipukul menggunakan rotan selain matanya juga bengkak akibat ditumbuk.

“Kesan lebam dan luka dekat tangan ini sebab saya kena rotan dengan mama dan ayah. Mata pula bengkak sebab kena tumbuk dengan mama masa ayah kerja.


Kesan dera yang dialami seorang kanak-kanak akibat dipukul baru-baru ini.

“Selepas ayah balik daripada kerja, ayah pernah bergaduh dengan mama, sampaikan ayah campak saya,” katanya dalam satu rakaman video yang tular di media sosial semalam.


Mangsa dera memberitahu, dia yang sudah lama tidak bersekolah berjaya melarikan diri melalui pintu belakang di dapur ketika ibu tirinya masih berada di dalam rumah.

“Mama ada dekat rumah, saya lari dan tutup pintu dapur. Adik-adik semua ada dekat rumah. Saya tak tahan, sakit sangat,” ujarnya sayu.

Sementara itu, ibu kandung mangsa yang berusia 26 tahun berkata, luluh hatinya apabila menerima berita mengenai anak kandung berusia enam tahun yang diberi hak penjagaan kepada keluarga bekas suaminya telah menjadi mangsa dera.

Dia hanya mengetahui nasib malang yang menimpa anaknya itu melalui perkongsian tangkap layar daripada kenalan rapat setelah tular di media sosial, kelmarin.

“Pada mulanya saya tidak percaya kerana bekas suami baru sahaja berhubung untuk bertanya khabar, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan mencurigakan.

“Dia ada bertanya khabar kepada saya dan saya ada juga minta gambar anak dengannya, namun dia tidak membalas apa-apa selepas itu.

“Apabila kawan kongsikan be­rita itu, saya sangat terkilan, marah, kecewa dan semuanya bercampur baur. Kalau boleh saya nak jumpa dan tanya dia sendiri, macam-macam soalan yang berlegar dalam fikiran ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, kanak-kanak itu sebelum ini berada di bawah penjagaan nenek dan datuknya sejak Ogos 2019 kerana mereka lebih berkemampuan membesarkan anaknya de­ngan lebih baik berbanding dirinya.

“Selepas berpisah dengan suami, anak-anak ikut balik ke Sarawak termasuk anak yang kena dera. Cuma selepas itu, bekas mentua ada ajukan kepada saya untuk tolong menjaganya.

“Disebabkan oleh faktor kesihatan yang dialami bekas mentua, anak saya itu diserahkan kepada bapa kandung dan ibu tiri untuk dijaga buat sementara waktu.

“Ibu mentua saya juga sebenarnya tidak tahu mangsa telah didera. Mereka ada hubungi saya selepas tahu mengenai hal itu dan meminta maaf atas apa yang telah berlaku,” ujarnya.

Dia bertekad untuk mengambil alih hak penjagaan anaknya itu demi keselamatan dan masa depannya.

“Menyesal saya beri kepercayaan dengan mereka untuk jaga. Tiga tahun dia bersama saya, tak pernah layan seperti yang bapanya lakukan,” katanya.

Hasil perkongsian hidup wani­ta itu dengan bekas suaminya, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata dan mangsa dera merupakan anak keduanya.

Kanak-kanak itu juga mempunyai tiga adik tiri hasil pernikahan baru bapa dan ibu tirinya.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang bapa dan ibu tiri ditangkap selepas dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Bahau, Jempol pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar pukul 2.30 petang terdapat seorang kanak-kanak lari dari rumah.

“Keadaan mangsa didapati terdapat kesan luka di bahagian tubuh badan mangsa. Siasatan awal mendapati, mangsa telah didera sejak Mac lalu hingga sekarang.

“Mangsa menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Am­puan Najihah di Kuala Pilah dan doktor telah mengesahkan mang­sa mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badan,” ujarnya.


Sumber: KOSMO! Online

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote ifanonline 15-9-2023 10:07 AM
thread ni dah ada bang

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-7-2024 07:03 AM GMT+8 , Processed in 0.174174 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top