Chukai: Disebabkan kehabisan gaji, seorang lelaki membuat laporan polis palsu mendakwa disamun petang tadi, bagi mengelak memberi nafkah kepada isterinya. Dia yang berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Pasir Gajah, Kemaman membuat laporan itu di Balai Polis Pasir Gajah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek mendakwa disamun dua lelaki yang menunggang motosikal Y150ZR di Jalan Ibok-Paman, pada 4.20 petang. Katanya, suspek juga mendakwa diacukan pisau di leher oleh dua lelaki berjaket hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh. "Dakwanya lagi dia tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal ditunggang penyamun itu, namun kerugian wang tunai RM1,500, seutas rantai dan loket emas bernilai RM700," katanya. Hanyan berkata, dalam soal siasat lanjut, suspek akhirnya mengaku kejadian samun tidak berlaku dan dia membuat laporan palsu kerana wang gajinya sudah habis dibelanjakan, serta tidak mampu memberi wang belanja kepada isteri.
"Lelaki itu juga mengaku rantai emas didakwa disamun itu sebenarnya sudah dipajak ke kedai emas dan masih belum ditebus," katanya yang memberitahu suspek bekerja sebagai pembantu kedai perkakasan. Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek tiga rekod lampau berkaitan dadah dan dia kini ditahan untuk siasatan. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT