Seorang pengutip sampah panas hati dengan sikap seorang pemilik rumah di satu kawasan yang tidak dinyatakan lokasinya. Lelaki tersebut kecewa kerana pemilik rumah berkenaan melupuskan sisa projek pembinaan ke dalam tong sampah sisa pepejal biasa.
Tong sampah berwarna hijau gelap itu sepatutnya hanya menempatkan bahan buangan domestik seperti sisa-sisa dapur, namun dalam video itu dapat dilihat ada dibuang kepingan konkrit dan plastik. "Tolong la masyarakat jangan buat perangai macam ni dekat pekerja pengutip sampah. Ini sangat menyusahkan kami. Berat tau nak angkat tong macam ni untuk tolak dan tuang ke dalam lori sampah. "Lagi satu boleh rosak dan pecah tong ni, sebab ia bukan direka bentuk untuk menampung sampah projek pembinaan. Kalau pecah tong tu, kami juga yang akan kena marah dengan penduduk. "Geram sangat rasa, jenis ni memang suka pentingkan diri sendiri. Hentikanlah mentaliti murahan dan tak bermaruah macam ni. Kami hanya mahu mencari rezeki halal.
"Bukan minta simpati tapi hormatilah kerja kami," kata lelaki itu dalam satu video yang dimuat naik di TikTok. Dia mengakui dirinya juga tidak sempurna dan mempunyai kesilapan, namun dia mengharapkan masyarakat dapat memberikan kerjasama dalam soal ini. "Kami akui kami tidak sempurna, ada melakukan kesilapan, tapi jangan buat kami begini. Tolong permudahkan kerja kami. Jangan la jadi masyarakat minda kelas ketiga," ujar lelaki itu. Menjengah ke ruangan komen, warga maya mendedahkan bahawa sisa binaan dari projek pengubahsuaian rumah tidak boleh dibuang ke dalam tong sampah awam. "Kalau rumah tengah renovation, kena ada tong roro dekat depan rumah. Satu kesalahan undang-undang untuk buang sampah binaan ke dalam tong hijau biasa. Patutnya boleh kompaun je. "Ini mesti jenis kedekut nak keluarkan duit ambil tong roro, lepas tu susahkan orang. Rabak tong sampah biasa tu kalau nak simpan bahan buangan binaan. "Benda senang je kalau ada tong sampah roro untuk renovation rumah, tapi pasal kedekut nak keluar duit terus jadi macam ni," kata sebahagian warga maya. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT