Janna Nick menerbitkan sebuah pementasan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pak Pandir dan Labu Ajaib. Namun apabila melihat barisan pelakon yang diberi tugas untuk menggalas watak-watak dalam teater muzikal terbitan Janna ini, wujud pandangan bahawa pelakon ini seakan selesa mengamalkan kronisme.
Ini terbukti menerusi pemilihan ketara rakan-rakan baik Janna sendiri seperti Puteri Sarah, Noreen Iman dan Aya Amiruddin. Janna menjelaskan, istilah kronisme tidak wujud kerana faktor utama pemilihan itu adalah kerana bakat dan kelebihan energi persembahan yang mereka dapat lakukan. “Memang mereka kawan-kawan saya. Tetapi pada masa sama, barisan pelakon ini berkualiti. Kalau tidak, saya pun tak akan panggil mereka. “Saya juga bukan seorang ‘opportunist’ atau nak ambil kesempatan terhadap kawan-kawan. Saya lebih suka melihat ini sebagai satu perkongsian rezeki.
“Saya senang berurusan dengan mereka tetapi nak katakan semua pelakon ini adalah kawan tidak juga. Ada juga kenalan industri,” katanya kepada Utusan.
Tambahnya pemilihan barisan pelakon diyakini dapat memberi tambah nilai kepada pementasan teater muzikal tersebut. “Nak buat teater bukan senang. Satu kerana ia menelan kos yang besar dan keduanya memerlukan penglibatan aspek teknikal, pengarah, tenaga kru dan produksi yang ramai. Untuk teater muzikal ini saja, penglibatan tenaga kerja hampir 100 orang. “Jadi, adil jika saya letakkan barisan pelakon yang dikenali ramai ini untuk memberi tambah nilai pementasan teater muzikal Pak Pandir dan Labu Ajaib ini. “Saya pun tak nak peningkan kepala dan mahu berurusan dengan orang yang senang beri kerjasama,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai penglibatan Bell Ngasri, Janna menyifatkannya sebagai satu rezeki buat dirinya. Katanya, tawaran untuk Bell diberikan sebelum pelakon tersebut memenangi Anugerah Bintang Paling Popular ke-35. Justeru, kata Janna, bayaran Bell untuk khidmat lakonannya dalam pementasan teater muzikal itu masih pada harga lama.
“Tawaran itu saya berikan kepada Bell sebelum dia menang ABP. Bila dia menang, saya pun rujuk semula dengan dia mengenai bayaran sebab iyalah, kalau boleh nak harga sebelum. “Lega juga bila Bell kata demi saya dia okey sahaja. Tetapi soal bayaran bukanlah isunya. Saya memang nak Bell berlakon dalam pementasan teater muzikal ini kerana saya cuma nampak dia sesuai untuk watak Pak Pandir itu. “Sekali lagi, bukan kroni. Cuma pilihan yang tepat. Tetapi selepas dia menang ABP, nampaknya kena mengaku dia kawan kitalah,” katanya berseloroh.
Tambah Janna lagi, dia juga selesa bekerja dengan Bell kerana sebelum ini pernah mengarah pelakon itu dalam sebuah telefilem yang diterbitkan di bawah JN Studio & Entertainment. Katanya, sepanjang pengalaman bekerja dengan pelakon senior tersebut, Bell baginya sangat profesional dan menghormati orang lain.
“Bagi saya, Bell tak pernah berubah. Sama sahaja baiknya dan memang itulah dirinya. Walaupun dia dianggap pelakon komedi, tetapi dia jenis pelakon yang ikut skrip. “Dalam pementasan teater, kita tak boleh nak olah-olah skrip atau terlalu nak berjenaka sebab adakala terdapat perkataan atau ayat yang tak sesuai didengar dan ditonton oleh kanak-kanak. “Saya nak kanak-kanak seronok dan terhibur menonton teater muzikal ini bersama keluarga. Saya rasa Bell boleh bawakan dengan baik. Apa yang penting adalah mesej positif yang terisi dalam naskhah ini,” katanya.
Untuk info, teater muzikal Pak Pandir dan Labu Ajaib arahan Aminah Rhapor turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC). Bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur, pementasan itu boleh disaksikan bermula 13 hingga 15 Oktober depan. Tiket untuk menyaksikan persembahan Teater Muzikal Kanak- Kanak: Pak Pandir Dan Labu Ajaib berharga di antara RM50 hingga RM250 kini telah mula dijual dan boleh didapati di laman sesawang ticket2u.com.my. – CARI Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|