Bergelar artis rakaman seawal usia 15 tahun apabila muncul dengan album sulung berjudul Dag Dig Dug… Mana Tahan pada 1995, siapa sangka Haiza pernah hampir putus asa mencari formula melebarkan sayap seninya.
Masakan tidak, anak jati Pontian, Johor itu sudah pun menghasilkan enam album, kali terakhir pada 2014 menerusi buah tangan berjudul Kerana tetapi khalayak hanya mengenalinya dengan lagu Dag Dig Dug. “Saya ada enam buah album yang dirakamkan sejak berusia 15 tahun. Tapi sehingga kini, orang hanya tahu satu lagu saya iaitu Dag Dig Dug. “Itulah lagu ‘cari makan’ saya sampai sekarang,” ujarnya. Pelbagai usaha dilakukan ibu kepada seorang cahaya mata itu untuk ‘memintas’ populariti Dag Dig Dug, termasuk hadir dengan genre berbeza selain dangdut, namun tidak berhasil. Haiza bagaimanapun tetap bersyukur, sekurang-kurangnya masih ada lagunya yang diketahui pendengar.
“Susah sebenarnya untuk saya ‘memadam’ kehebatan lagu Dag Dig Dug. Tapi tidak mengapa. Walaupun saya hanya popular dengan satu lagu sahaja, sekurang-kurangnya ada. “Kalau saya rasa nak berputus asa sekarang pun, rasa tidak berbaloi sebab saya sudah menyanyi sejak usia remaja. “Lagi pun peminat sendiri mahukan saya menyanyi lagu Dag Dig Dug setiap kali membuat persembahan pentas,” katanya.
|
ADVERTISEMENT