Kota Bharu: Seorang lelaki yang mengalami kemurungan ditemukan selamat selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an diselamatkan oleh orang awam apabila terjatuh ke kawasan tanah di bawah jambatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, orang awam melihat mangsa menunggang motosikal seorang diri sebelum terjun dari jambatan tersebut. Menurutnya, mangsa kemudian telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Tendong, Pasir Mas dengan menaiki ambulans.
“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut. Lelaki itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedar. “Siasatan turut mendapati, mangsa merupakan seorang duda dan tinggal bersama ibunya di Kampung Tujoh, Tumpat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. Mohd. Rosdi memberitahu, berdasarkan maklumat keluarganya, lelaki itu merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah kemurungan sejak Mei lalu. Katanya, mangsa juga tidak pernah mendapat rawatan mental di hospital dan ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah. Mohd. Rosdi berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut. Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Awang, 50, berkata, mangsa telah terjatuh ke tebing dan bukannya di dalam sungai. “Dari atas jambatan dapat melihat mangsa terbaring tetapi masih bergerak seperti menahan kesakitan sebelum bantuan tiba,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT