Kota Bharu: Tidak percaya aduan mangsa selain ingin mengelakkan keluarga mendapat malu antara faktor kes gangguan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya percaya masih banyak kes gangguan seksual termasuk sumbang mahram tidak dilaporkan walaupun statistik mencatatkan penurunan pada tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 506 kes gangguan seksual dilaporkan pada 2021 dan ia mencatatkan penurunan kepada 477 kes, tahun lalu dengan lebih 90 peratus kes adalah membabitkan mangsa dalam kalangan wanita. "Walaupun ada penurunan, kita tak pasti sebab ada yang tidak membuat laporan kerana mungkin ada dalam kalangan keluarga mangsa yang ingin menjaga institusi kekeluargaan atau bimbang mendapat malu terutama jika pelaku adalah ahli keluarga sendiri. "Ibu bapa harus lebih peka dan berani bertindak dalam menangani kes gangguan seksual kanak-kanak dan mereka juga wajar memberi pendidikan seksual kepada anak sejak kecil serta mendidik mereka supaya dapat membezakan antara sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini. Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang menjadikan Kelantan sebagai destinasi ketujuh sepanjang pelancarannya di seluruh negara. Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dan Exco Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani lbrahim. Nancy berkata, pihaknya sudah menggubal Akta Antigangguan Seksual (AGS) 2022 [Akta 840] sebagai suatu akta khusus untuk menangani kesalahan gangguan seksual. Menurutnya, akta itu diharap dapat melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan dapat diambil dengan sewajarnya. "Kita juga sudah membangunkan notis antigangguan seksual yang boleh dimuat turun melalui Kod QR dan laman web Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk dipaparkan di setiap organisasi termasuk premis awam dan swasta. "Selain itu, bengkel kejurulatihan bagi Anti Gangguan Seksual melalui Institut Sosial Malaysia (SM) turut dijalankan," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT