Selebriti Erra Fazira yang digelar Primadona Malaysia itu mengakui tidak dapat melupakan uji bakat filem pertama lakonannya pada awal kemunculan di persada seni tanah air. Menerusi perkongsian rakaman di TikTok, masih segar dalam ingatan betapa gementarnya hingga skrip yang ditangan pun bergetar ketika menjalankan 'audition' filem Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam.
"Audition saya yang paling tak dilupakan adalah filem pertama, Sembilu. "Saya ada cable masa tu Awie. Dia bawa saya tapi tak bermakna akan dapat free begitu saja, saya tetap kena audition. "Dia kenalkan, jadi kalau saya tak lulus mungkin saya dapat watak kecil. Sebenarnya, masa audition saya diberi bayangan, saya dah la nervous dia bagi skrip zaman dulu-dulu dialog 'tuan hamba'. "Saya pegang skrip menggigil, kertas saya pegang tu bergegar tapi Alhamdulillah, mungkin tidak sempurna mana tapi Datuk Yusof Haslam tengok mungkin ada potential," katanya.
Di ruangan komen, ramai yang mengimbau kembali kisah cinta yang dipaparkan dalam filem Sembilu sehingga pernah menjadi fenomena dalam industri perfileman tanah air. Untuk rekod, filem Sembilu adalah naskhah bergenrekan drama romantik pada tahun 1994. Selain Erra Fazira, ia turut dibintangi oleh Awie, Ziana Zain, Mustapha Kamal, Aida Khalida dan Roy Azman. Sumber: Xtra
|
ADVERTISEMENT