Walaupun pernah dilamar syarikat produksi antarabangsa, Idan Aedan mendedahkan pernah ditolak membintangi drama tempatan sebab tak kacak. Idan atau nama sebenar, Muhammad Shahidan Abdullah, 19, berkata warna kulitnya yang sawo matang turut menjadi punca namanya diketepikan oleh beberapa syarikat produksi tempatan.
"Saya agak sukar terbabit dalam mana-mana drama tempatan disebabkan warna kulit dan dikatakan tiada paras rupa. "Industri arus perdana tak mahu sangat rupa dan warna kulit seperti saya. Ia bukanlah terjadi baru-baru ini, tetapi saya pernah melaluinya," katanya kepada BH Online. Lantaran itu, teraju utama siri Netflix Mr Midnight: Beware The Monster itu mengakui, dia lebih cenderung mengambil peluang berlakon dalam naskhah yang ditayangkan menerusi platform penstriman Over The Top (OTT).
"Sebab itu saya banyak dilihat dalam platform OTT kerana mereka tak kisah mengenai paras rupa, tetapi lebih menekankan hasil kerja. "Saya tidaklah terlalu kecewa apabila nama ditolak oleh produksi tempatan. Namun, agak kasihan untuk individu lain yang ditolak disebabkan alasan sama biarpun berbakat besar. "Saya tak sedih dengan diri sendiri kerana rezeki lakonan tidak pernah putus walaupun pernah ditolak," katanya kepada Berita Harian.
Dia turut menerima kritikan segelintir individu mengenai warna kulitnya, namun mengambil keputusan untuk tidak mempedulikannya. "Ada yang mempersoalkan warna kulit saya yang gelap, tetapi saya tak terasa sangat sebab keluarga banyak beri sokongan dan semangat. "Memang banyak terima komen seperti ini, tetapi saya biarkan sahaja sebab tak mahu ganggu fikiran. Biarlah orang nak cakap apa, saya mahu terus positif," katanya.
Terbaru, Idan terbabit dalam filem Tebus terbitan Vian Media Sdn Bhd yang sudah disiarkan di platform OTT terkemuka Amerika Syarikat (AS), Prime Video sejak 31 Ogos lalu. Selain Idan, filem Tebus menampilkan Aedy Ashraf dan Ahirine Ahirudin sebagai tunjang utama, selain dibantu Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marissa Yasmin. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|