Adam Shahz sedia untuk berkompromi dan menyerahkan hak penjagaan penuh anak tunggalnya kepada Fatin Afeefa. Kata Adam isu berkaitan anak ini tidak sepatutnya berlarutan lama kerana ia boleh memberikan kesan kepada proses pembesaran anak mereka iaitu Ivy Herra Sophia, 8 tahun.
"Saya mendapatkan nasihat peguam, dalam kes ini sepatutnya tiada siapa menang atau kalah. Keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk kedua-dua pihak. Saya juga tak mahu kes ini berlarutan sehingga boleh memberi kesan kepada anak kami. "Jadi saya ambil keputusan untuk berikan hak penjagaan anak kepada ibunya dan saya diberikan kebenaran untuk melawat serta peluang bermalam bersama anak. Sekarang ini kami hanya menunggu keputusan kes induk tentang hak penjagaan anak. "Kalau sebelum ini saya mahukan hak penjagaan penuh, tetapi rasanya lebih baik seperti yang ditetapkan dalam keputusan interim," katanya kepada mStar.
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor menetapkan Fatin mendapat hak penjagaan interim sebelum keputusan kes induk mereka diberikan. Menurut Adam, penetapan perintah mahkamah itu penting buat mereka supaya tidak timbul salah faham atau isu berbangkit di masa akan datang. "Boleh sahaja berbincang di luar mahkamah, tetapi bagi saya penting untuk dapatkan perintah supaya kemudian hari tidak timbul salah faham. Mungkin akan berlaku saya sendiri yang tidak berpuas hati jika keputusan dibuat oleh kami sendiri.
"Sebelum ini pun saya tidak ada masalah untuk dia (Fatin) mendapat hak penjagaan penuh, cuma saya bawa kes ini ke mahkamah kerana mahukan hak untuk berjumpa anak. "Kalau awal dulu saya mohon hak penjagaan penuh, tetapi saya telah pinda untuk berikan kepada pihak sebelah sana," ujarnya. Tambah Adam kemelut yang berlaku sebelum ini juga mematangkan dirinya dan berharap hubungan bersama Fatin berlangsung baik tanpa sebarang perbalahan mengenai isu jagaan anak. Lebih membuatkan Adam lega apabila Ivy dilihat memahami situasi yang berlaku antara mereka dan tidak pernah bertanya tentang kisah perpisahan kedua ibu bapanya. "Mungkin disebabkan pertelagahan sebelum ini membuatkan kita lebih kenal diri sendiri. Hubungan saya dan Fatin juga baik-baik sahaja. Saya tidak ada masalah untuk berjumpa anak. "Ivy pula tidak pernah bercakap tentang isu perpisahan kami. Saya melihat dia semakin matang dan faham apa yang berlaku," jelasnya.
Untuk rekod, Adam dan Fatin berkahwin pada 21 Disember 2013 namun bercerai empat tahun kemudian. Sementara itu Fatin pula kembali mendirikan rumah tangga dengan Aliff Awang pada 30 Disember tahun lalu. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|